CYBERJAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim hari ini berkongsi puisi terbarunya yang menyentuh mengenai “undang-undang zalim”.
Memetik laporan Malaysiakini, puisi bertajuk ‘Kuasa Mengubah Segala-galanya’ itu memberi gambaran tentang “reformis jalanan” yang kini berada di “tampuk kuasa”.
Pemimpin PKR itu antara lain mengungkapkan bahawa “Hari ini, suara Pak Menteri sudah semacam suara Pak Polisi”.
Menurut laporan itu, puisi itu hadir selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya tidak berhasrat untuk menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).
Kenyataan Saifuddin itu mengundang kritikan beberapa pihak termasuk daripada Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) yang menggesa pindaan peruntukan yang menafikan jaminan kepada mereka yang didakwa di bawah undang-undang itu.
Selain itu, Ahli Parlimen (DAP) Damansara Gobind Singh Deo juga menggesa Saifuddin mempertimbangkan semula pendiriannya berhubung akta itu dan menyifatkan pendirian itu sebagai bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang mengakui ia “bermasalah”.
Untuk rekod, pada Januari 2020, peguam negara ketika itu Tommy Thomas berkata Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) akta berkenaan pada Mac tahun itu. Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian.
Manakala dalam sidang media pada 13 Dis lalu, Saifuddin menyatakan bahawa undang-undang itu bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.
Dia berhujah bahawa undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah, kata laporan itu lagi.
Berikut merupakan rangkap penuh puisi nukilan Hassan.
Kuasa itu manis umpama madu
Tetapi kuasa itu juga racun
Menghitamkan kalbu
Kuasa boleh mengubah segala-galanya
Dulu kita kata undang-undang itu zalim
Kita panggil dia draconian
Akta kuku besi
Menafikan hak asasi
Masa itu kita hanya reformis jalanan
Yang bergelandangan
Kini sudah lain
Dunia sudah berubah
Kita sudah di tampuk kuasa
Nun tinggi di Putrajaya
Dari koridor kuasa
Kita mula bercakap
Tahanan tanpa bicara
hampir sebulan pun tidak mengapa
Demi keselamatan negara
Ketenteraman awam perlu dijaga
Hari ini, suara Pak Menteri
Sudah semacam suara Pak Polisi
Lalu, aku yang berpuisi seperti ini
Dianggap menembak kaki sendiri
Sumber: Suara TV