Hasrat pulang beraya di Sabah tidak kesampaian, suami isteri maut kemalangan

nahas.jpg

Kemalangan yang mengorbankan sepasang suami isteri di Persiaran Forest Heights, Seremban, semalam.

Kongsi Bersama

SEREMBAN: Hasrat sepasang suami isteri untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman mereka di Sabah tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pagi semalam.

Aswan Sulaiman, 29, dan isterinya Nur Khairunnisya Samsudin, 23, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di Persiaran Forest Heights di sini selepas motosikal dinaiki mereka terbabit. dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu oleh pelajar kolej berusia 19 tahun.

Bernama melaporkan bapa Nur Khairunisya, Samsudin Basirun, 52, berkata, anak bongsunya itu mahu melawat keluarga suaminya di Sabah secara mengejut bersama anak perempuan mereka, Aisy Najah yang berusia lapan bulan selepas lebih setahun tidak pulang ke kampung.

Dia yang terkejut dengan panggilan daripada pihak polis pada pukul 7.52 pagi itu turut meluahkan rasa sedih sehingga hampir pengsan apabila dimaklumkan tentang tragedi menyayat hati itu.

Malah dia tidak menyangka reaksi anak dan menantunya yang kelihatan keberatan untuk keluar bekerja selepas bersahur di rumahnya di Taman Pelangi, Sikamat adalah petanda mereka ‘pergi’.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan akan memikul tugas untuk menjaga cucu perempuan terbabit yang telah menjadi yatim piatu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Hatta Che Din berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu pelajar perempuan itu datang dari arah Seremban Jaya menuju ke sebuah kolej dan sedang menunggu di simpang untuk membelok ke kanan menuju Persiaran Forest Heights 2.

“Bagaimanapun, motosikal pasangan itu yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian kiri kereta,” katanya.

Beliau berkata, suami isteri itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tiew Chuan Jie, di talian 014-9668399 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top