SANDAKAN: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Sandakan di sini amat mengalu-alukan hasrat kerajaan yang akan mempertimbang memberi gajet bagi memudahkan pelajar kurang berkemampuan untuk belajar secara dalam talian.
Pengerusinya, Haji Budun Haji Muari (gambar) berkata sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) merupakan satu kaedah alternatif untuk murid-murid dapat belajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.
Katanya, kaedah seumpama sekurang-kurangnya memberi peluang kepada murid-murid untuk dapat terus belajar meskipun tanpa bersemuka dengan guru.
“Tetapi, tidak dapat dinafikan ramai juga murid yang tercicir kerana masalah tidak mempunyai gajet yang sesuai selain daripada jaringan internet yang lemah. Sudah pasti murid yang tinggal jauh di pedalaman kebanyakannya tidak dapat mengikuti PdPR seperti rakan mereka yang tinggal di kawasan bandar.
“Oleh itu, kita amat mengalu-alukan sekiranya kerajaan memgambil langkah proaktif memberi gajet yang sesuai untuk pembelajaran murid-murid. Pada masa yang sama, kita juga memohon agar kerajaan dapat menaiktaraf kelajuan internet dan memastikan kawasan luar bandar juga dapat mengakses kepada rangkaian internet,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Haji Budun berharap agar hasrat kerajaan itu dapat direalisasikan dengan secepat mungkin bagi mengelak murid-murid yang disasarkan akan ketinggalan lebih banyak silibus mata pelajaran.
Jelasnya, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dengan mengenalpasti murid yang layak dan memastikan bantuan seumpama sampai kepada kumpulan sasar agar tidak ada yang tercicir.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor baru-baru ini dipetik berkata kerajaan negeri akan mempertimbang langkah termasuk menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk belajar secara dalam talian.
Katanya, langkah berkenaan bagi membantu pelajar yang kurang bernasib baik untuk mengikuti PdPR di rumah. – Utusan Borneo