Hasrat KDM Sertai GRS Bukan Ancaman – Robert

robert-tawik-1.jpg

Robert

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan satu ancaman, kata Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik.

Malah katanya, perkara yang disuarakan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony adalah ikhlas untuk bersama-sama pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan itu membantu rakyat dari aspek kebajikan serta pembangunan.

Tambah Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, penyertaan KDM dilihat berupaya mengukuhkan lagi gabungan itu serta kerajaan GRS dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Saya percaya parti KDM yang dikemudi oleh Peter ingin menyertai GRS, adalah ikhlas dan ingin bersama dengan pemimpin-pemimpin parti dalam GRS untuk membantu kebajikan dan pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Penyertaan parti KDM bukan satu ancaman kepada parti-parti dalam GRS kerana ia dapat memperkukuhkan kerajaan GRS dibawah kepimpinan Hajiji.

“Lagi pun, sekarang bukan masa untuk berpolitik tetapi masa untuk menyantuni masalah rakyat dan pada masa sama merealisasikan pelan pembangunan Sabah dibawah pelan ‘Sabah Maju Jaya’, ” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Walau bagaimanapun tambah Robert, permohonan parti KDM untuk bersama GRS perlu mendapat persetujuan daripada parti-parti dalam gabungan itu.

Sebelum ini, Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan turut menyambut baik hasrat KDM yang mahu menyertai GRS sebagai rakan baharu untuk mengukuhkan lagi kerajaan sedia ada.

Jelas Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, beliau terbuka mengenai perkara itu yang dilihat dapat memperkuatkan kerajaan serta gabungan itu.

Namun jelas Jeffrey lagi, ianya perlu dibincangkan bersama parti-parti lain dalam GRS mengenai perkara itu semasa mesyuarat GRS yang dijangka diadakan dalam masa terdekat. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top