Hasrat jemaah miliki Menara MJP akhirnya tercapai, hasil keprihatinan kerajaan

menara-MJP.jpg

Shahelmey merakamkan gambar kenangan sebahagian AJK Masjid Jamek Putatan di hadapan Menara MJP sejurus memotong riben bagi merasmikannya.

Kongsi Bersama

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya baru-baru ini merasmikan Menara Masjid Jamek Putatan (MJP), sekaligus memberi sinar baharu kepada masjid itu dan pada masa sama memberi manfaat kepada umat Islam setempat dan sekitarnya.

Menara MJP yang baharu didirikan itu adalah hasil daripada lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mendengar keluhan daripada rakyat terutama umat Islam yang berdepan dengan kesukaran mendengar laungan apabila masuk waktu fardu solat.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat dalam ucapan yakin dengan terbinanya Menara MJP yang dapat disaksikan hari ini telah menyelesaikan rungutan penduduk yang sebelum sukar mendengar dengan jelas laungan Muadzin.

“Tahniah saya ucapkan kepada Masjid Jamek Putatan atas usaha gigih mereka memajukan masjid ini. Ini bukti bahawa kerajaan yang ada pada hari ini amat prihatin terhadap isu rakyat setempat dengan mendirikan sebuah menara yang disifatkan sebagai yang tercantik di Daerah Putatan.

“Difahamkan juga sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan dari segi jumlah jemaah terutamanya golongan muda dan ini memperlihatkan jawatankuasa masjid amat aktif dalam mengimarahkan masjid di daerah ini.

“Selain Menara MJP, kerajaan juga telah memperuntukkan dana bagi membolehkan Kubah Masjid ini yang mengalami kerosakan teruk dan bahagian ruang solat utama masjid tahun lalu dinaik taraf dan sekali gus menjadikan ruang solat ini lebih kondusif bagi para jemaah, ” katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Masjid Jamek Putatan, Othman Abdul Hamid dalam ucapan menzahirkan kesyukuran kerana perjuangan untuk membina menara itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Syukur Alhamdulillah hasrat jemaah setempat selama beberapa tahun akhirnya menjadi kenyataan apabila sebuah menara yang tersergam indah telah didirikan di perkarangan masjid.

“Menara ini pastinya menjadi kebangaan kepada penduduk lima buah Kariah Masjid Jamek Putatan sekaligus memenuhi kehendak jemaah dalam melaksanakan ibadah, ” katanya.

Pada majlis perasmian itu, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari turut menyampaikan sumbangan peralatan kain kafan, pemotong kayu, mesin rumput, kereta sorong dan lain-lain kelengkapan masjid.

Turut hadir, Penaung Masjid Jamek Putatan, Datuk Seri Dr Arsit Sedi, Pengerusi Suria Strategic Energy Resources (SSER) Awang Husaini Awang Sahari dan Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Putatan, Aisah Odin. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top