KLUANG: Berkat kesanggupan untuk berikhtiar, keadaan banjir yang menenggelami halaman rumah dimanfaatkan sebagai ‘sumber rezeki’ bagi Ali Bain meraih pendapatan sampingan yang lumayan di Kampung Sri Lukut, di sini.
Ali, 35, berusaha mengatasi kesulitan dihadapi dengan memasang jaring mengelilingi kawasan rumahnya sejak hari pertama banjir melanda pada Sabtu lalu.
Hasilnya setiap hari, beliau berkata, tidak kurang lima kilogram ikan air tawar pelbagai jenis tersangkut pada jaring berkenaan.
“Antara ikan bermutu tinggi yang berjaya ditangkap ialah jelawat, baung dan paling banyak sekali, ikan lampam serta sebarau.
“Selain dijual kepada mereka yang berminat, kami juga menikmati sendiri hasil tangkapan itu sebagai lauk.
“Ia bukan hanya dapat menjimatkan perbelanjaan harian tetapi juga membantu menjana pendapatan sampingan yang lumayan,” katanya ketika ditemui BH.
Dalam perkembangan lain, Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari, serta Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu, pula mengeluh apabila pukat gombang dipasang di Sungai Sembrong dan Sungai Kahang rosak akibat dilanggar sampah, terutama kayu dihanyutkan banjir kali ini.
Halim berkata, puluhan pukat gombang yang dipasang di Sungai Sembrong tidak sempat dinaikkan kerana tidak menyangka banjir kali ini agak tinggi berbanding kebiasaan.
Sari Achu memaklumkan, pukat gombang yang digunakan dalam usaha mencari pendapatan utama oleh sebahagian penduduk Kampung Orang Asli Berasau, kini tidak dapat digunakan selepas mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar kayu besar dihanyutkan banjir.
“Kami terpaksa menggantikan semula semua pukat gombang yang rosak itu, namun ia memerlukan perbelanjaan besar,” katanya. -BHarian