Harris gesa semak dasar lanjut permit pekerja asing 15 tahun

harris.jpg

Tan Sri Harris Salleh (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menyemak semula dasar membenarkan pekerja asing bekerja sehingga 15 tahun, bukan memperbaharui permit setiap tahun.

Harris Salleh berkata langkah itu perlu kerana Sabah dijangka berdepan pengaliran keluar pekerja susulan penubuhan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

Katanya beliau sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan perkara itu.

“Peluang dan landskap yang berkembang di Nusantara menandakan peningkatan permintaan untuk tenaga kerja Indonesia berpengalaman amat diperlukan untuk kemajuan dan kemakmuran berterusan Kalimantan,” katanya menurut laporan FMT yang memerik Daily Express.

Beliau berkata populasi Nusantara dijangka mencecah 50 juta orang menjelang 2030.

Memetik rancangan Nusantara untuk menambah lima juta hektar kelapa sawit lagi, menjadikan keseluruhan 10 juta hektar, Harris berkata Nusantara akan mendapatkan pekerja Indonesia berpengalaman yang kini bekerja di Sabah.

“Ini sebabnya penting untuk mengekalkan pekerja ini di Sabah dengan melanjutkan permit kerja mereka sehingga 15 tahun.”

Harris berkata sebab lain untuk melanjutkan tempoh permit termasuk hakikat pekerja asing tiba di Sabah selalunya dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan tempoh 15 tahun akan memberikan kestabilan kepada majikan serta pekerja.

Beliau turut mencadangkan tabung simpanan diwujudkan untuk pekerja asing bagi melindungi masa depan kewangan mereka. Ini bersama simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, akan memudahkan mereka pulang ke negara asal selepas tamat tempoh permit kerja.

“Lanjutan permit kerja 15 tahun bukannya memberi kerakyatan secara automatik, tetapi menawarkan jaminan kepada majikan dan pekerja (untuk tenaga kerja berterusan).”

Katanya, penting untuk menangani keengganan orang tempatan bekerja di ladang sawit, dengan Sabah sudah berdepan kekurangan pekerja penuaian.

Minggu lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani mencadangkan pekerja di sektor ladang sawit, khususnya kerja penuaian dijadikan profesion menerusi kursus kemahiran dan gaji lebih baik.

Beliau berkata sektor sawit yang bergantung kepada pekerja asing kini berdepan masalah kekurangan pekerja dan 50% pekerja di ladang itu terdiri daripada pekerja penuaian.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top