Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Sabah dapat sambutan luar biasa

HPPNS-2023.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah (HPPNS) yang pertama kali diadakan di perkarangan Wisma Pertanian di sini telah mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran tidak kurang daripada 14,000 pengunjung, dan nilai jualan lebih daripada RM400,000.

HPPNS yang bermula 27 Julai lalu berakhir semalam dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Dalam ucapannya Kitingan menzahirkan penghargaan atas semangat dan komitmen pihak penganjur dan semua yang terlibat untuk menjayakan sambutan HPPNS 2023 itu.

‘Untuk memajukan industri ini kita perlukan kakitangan dan anggota yang mempunyai semangat kuat, yang tidak mengalah, yang tahan tukul, walau panas matahari, walau berkeringat, masih lagi boleh tersenyum. Itulah yang menjayakan program hari HPPNS kita pada hari ini,” ujarnya.

Berdasarkan kepada pelbagai faktor dan maklumbalas dari semua pihak, Sambutan HPPNS akan kekal dianjurkan di Wisma Pertanian Sabah pada masa hadapan.

Menurutnya terdapat kawasan hutan dan berkolam yang mempunyai tarikan tersendiri di dalam kawasan Wisma Pertanian dan boleh disediakan bersesuaian dengan keperluan mengadakan HPPNS pada masa akan datang.

Menyentuh mengenai keterjaminan makanan, Kitingan berkata, jika dilihat dari sudut ekonomi semata-matatidak ada keperluan untuk menanam padi kerana mengimport padi lebih murah daripada kos menanam padi.

“Tetapi dari segi food security (keterjaminan makanan) kita perlu cukup makanan sebab kalau negara-negara pengekspot tutup pintu dan tidak mahu jual beras atau padi lagi, kita akan menghadapi masalah besar,” katanya.

Oleh itu food security lebih penting bukan kerana ia lebih mahal dan lebih tinggi kos untuk mengeluarkannya tetapi demi keselamatan dan keterjaminan makanan.

“Kita harus mencari jalan bagaimana dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) iaitu keperluan makanan kita, supaya kalau ada berlaku kecemasan seperti Covid-19 dan negara-negara pengeluar menutup pintu, kita lagimasih boleh makan,” katanya.

Jelasnya antara tindakan yang diambil ialah menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah, dan mencari kaedah untuk tidak mengulangi kelemahan-kelemahan masa lampau yang boleh mengakibatkan kegagalan.

Kitingan berkata dalam masa terdekat ini satu enakmen akan dikuatkuasakan iaitu enakmen sumber air yang mana sumber-sumber air akan lebih terjaga dan tidak disia-siakan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Pengerusi Penganjur Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah, Robert Stidi; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS Sabah), Datuk Mohd Nazri Abdullah; Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa, Jannie Lasimbang; Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah, Datuk Edward Linggu; dan Pengerusi Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelyan), Kong Soon Choi.

 

Sumber: Jefrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top