KOTA KINABALU: Jalan Tun Fuad Stephens di sini, hari ini, menjadi tumpuan rakyat daripada pelbagai lapisan sejak awal pagi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Majlis dimulakan dengan ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah Jasni yang disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Tun Juhar kemudian memeriksa perbarisan kehormat dan menyaksikan upacara pembacaan ikrar dan persembahan koir diikuti dengan perarakan itu.
Perarakan dimulakan dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Sabah serta bendera dari semua negeri di Malaysia. Ia disertai 185 kontinjen daripada pasukan keselamatan, jabatan kerajaan dan agensi, badan beruniform, persatuan, dan sekolah-sekolah.
Antara yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan ialah ‘tarian perang’ oleh Angkatan Tentera Malaysia, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, kumpulan bermotor penghantar makanan Grab dan Unduk Ngadau Kaamatan 2024.