Hari Etnik Sabah Berjaya Ketengahkan Lebih 90 etnik

Joachim-hari-etnik.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah buat julung kalinya telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 90 etnik untuk diketengahkan dalam sambutan Hari Etnik Sabah tahun ini.

Hari Etnik Sabah merupakan satu pengisian baharu dalam sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-68.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Etnik Sabah berkata, sambutan Hari Etnik Sabah bertujuan untuk meraikan kesatuan dalam kepelbagaian budaya etnik dan toleransi agama di negeri ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, Sabah merupakan sebuah negeri yang berbilang etnik dan memiliki kesatuan dalam membentuk negara maju dan membangun khususnya negeri Sabah yang kita cintai,” katanya di majlis perasmian sambutan tersebut yang diadakan di Hotel Hilton di sini, semalam.

Katanya, tema utama bagi sambutan Hari Etnik Sabah pada tahun ini ialah, “Bahasa Orang Asal – Nadiku, Nadi Budayaku”.

“Pemilihan tema ini adalah selaras dengan tema kempen bahasa sukuan Sabah pada tahun ini. Pemilihan tema ini juga adalah sesuai dengan persediaan dalam memasuki “International Decade of the World’s Indigenous Language (DILA 2022-2032)” yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

“Tema ini juga adalah selaras dengan usaha-usaha memulihara kelestarian bahasa-bahasa sukuan di Sabah yang kini berada di ambang kepupusan,” ujar beliau.

Dr. Joachim berkata, penglibatan Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin dalam hal ini dapat meningkatkan semangat rakyat dan secara tidak langsung membanggakan rakyat atas keprihatinan beliau dalam menangani masalah yang kian meruncing ini.

“Marilah kita bersama-sama dalam memartabatkan bahasa sukuan kita agar tidak hilang ditelan arus teknologi yang saban hari sentiasa berkembang maju,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah bagi program Anugerah Penggiat Bahasa Etnik Sabah dan Anugerah Utama Penggiat Budaya, serta pemenang Pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Etnik Sabah dan pemenang Lagu-Lagu Pilihan Etnik Sabah. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top