Oleh: Yussof J. Imbang
TONGOD: Cabaran guru yang ditugaskan di kawasan Pedalaman yang terpisah dari dunia luar kerana ketiadaan jalur lebar dan sebarang kemudahan asas perlu diterjemahkan sebagai pengorbanan besar dalam usaha membina anak bangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, tidak semua guru bernasib baik dapat berkhidmat di kawasan bandar kerana ramai juga pendidik yang perlu melalui pelbagai kesukaran ketika ditugaskan jauh di perkampungan yang daif.
“Saya faham ramai guru terpaksa berdepan dengan cabaran getir kerana ditempatkan di kawasan pedalaman tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.
“Mereka bukan saja terasing dari dunia maya tanpa internet, malah sekolah tempat mereka bertugas juga terlalu daif selain tiada kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, ” kata Masiung ketika melancarkan program Gerakan Massa sempena Hari Guru peringkat daerah Tongod dan Telupid, kelmarin.
Katanya, guru bukan saja berperanan sebagai penyampai ilmu tetapi perlu menjadi ikon kepada golongan masyarakat dan pelajar kerana kesanggupan mereka menempuh rintangan serta cabaran.
Menurut beliau, walaupun banyak kekangan dan cabaran para guru ketika dihantar bertugas merentasi hutan dan sungai terutama di daerah Tongod dan Telupid ini, namun mereka tetap bersemangat mendidik anak bangsa.
Bertepatan dengan majlis tersebut orang ramai perlu menghargai peranan pendidik kerana dari gurulah kita bermula sebelum menyandang pelbagai kerjaya.
ADUN Telupid, Jonnybone J. Kurum dan Pegawai Pendidikan Daerah, Puan Barizah Mohd Kahar turut hadir pada majlis tersebut.
Masiung dan Jonnybone kemudiannya turut menyertai konvoi bersama 80 kenderaan berarak ke SK Sogo-Sogo dan SMK Entilibon di mana peserta konvoi disambut dengan perbarisan murid.
Jonnybone kemudianya diberi penghormatan melakukan upacara penutupan rasmi di SK Telupid.
Kredit foto: FB Masiung Banah