KOTA KINABALU: Tarikh 31 Ogos wajar diraikan bersama-sama bagi menikmati dan menghargai keamanan dan kemakmuran negara.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata suasana aman dan harmoni sebegini adalah berkat jasa, bakti dan pengorbanan para perajurit serta anggota keselamatan tanah air yang sanggup berkorban apa sahaja bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan damai dan sentosa.
Sehubungan itu katanya, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berasa bertuah hidup dalam sebuah negara berdaulat dan merdeka.
“Hari ini kita menyambut Hari Kebangsaan yang signifikan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, budaya dan juga fahaman politik.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa ada semangat cintakan negara serta menghargai dan mempertahankan kedaulatan Malaysian,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan, semalam.
Shafie berkata dengan berpegang teguh kepada Perlembagaan dan Rukun Negara, maka ia mampu membawa negara kepada kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan.
“Selamat menyambut Hari Kebangsaan,” katanya.