KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tempatan termasuk yang melabelkan diri sebagai “kos tambang rendah” masih mengenakan harga yang melampau seakan-akan cuba mengaut keuntungan lumayan ketika rakyat ingin kembali bekerja selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Susulan pembukaan semula sempadan negara pada April lalu, ruangan udara bagi penerbangan domestik kembali sibuk namun apa yang disangka sebagai rahmat kepada penduduk negeri ini ternyata lebih ketara sebagai beban.
Harga tiket penerbangan kurang dari sejam dari Tawau ke ibu kota negeri, Kota Kinabalu yang mencecah sehingga lebih RM1,000 bagi tiket sehala dianggap “tidak masuk akal”.
Ramai penduduk terutamanya yang bekerja jauh dari keluarga mula meluahkan rasa kemarahan terhadap situasi tersebut.
“Bukannya saya mahu melancong, tapi turun (ke Kota Kinabalu) untuk bekerja. Mahu luangkan masa lebih bersama keluarga sebab itu saya pilih guna kapal terbang.
“Tengok-tengok harga tiket macam harga Yahudi,” kata Zaidi Nasir apabila dihubungi SabahNews.
Seorang lagi wanita berumur 34 tahun yang enggan dinamakan juga merungut dengan kadar tambang melampau itu.
“Kalau harga tiket sehala dari Tawau saja berharga RM800 lebih baik saya terus bayar deposit kereta.
“Mangsa situasi ini bukanlah kerabat diraja tetapi golongan yang bekerja untuk menyara diri dan keluarga,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 April lalu ‘menegur’ pengendali syarikat penerbangan domestik yang mengambil kesempatan menaikkan tambang antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan Aidilfitri.
Sebelumnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menggesa Menteri Pengangkutan agar meneliti perkara itu dengan segera, sekali gus mengurangkan harga yang melonjak lebih 500 peratus berbanding harga tambang pada bukan musim perayaan.
“Ia membebankan rakyat, oleh itu, kita di kabinet negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” katanya.
Dua hari selepas itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan menjelaskan kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan.
Berita asal dan foto: sabahnews.com.my