Harga Tiket Ke Sabah, Sarawak Melonjak: Pemimpin DAP Kata SPR ‘Gagal’

kelvin-yii.jpg

Dr Kelvin Yii

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) “gagal” terhadap rakyat Malaysia Timur selepas harga tiket penerbangan ke Borneo melonjak susulan pengumuman hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung tidak perlu berbelanja tinggi semata-mata mahu pulang mengundi sekiranya SPR membenarkan mereka mengundi di Semenanjung.

“SPR gagal terhadap kami rakyat Sarawak dan Sabah apabila gagal melakukan pembaharuan untuk sama ada membenarkan undi tidak hadir (mengundi di pusat mengundi di Malaysia Barat), atau undi pos.

“Ini bersamaan dengan penindasan pengundi. Hak untuk mengundi tidak boleh dikhususkan hanya untuk golongan kaya atau yang mampu terbang pulang,” katanya dalam beberapa siri hantaran di Twitter.

Terdahulu, warganet mengeluh kerana terpaksa pulang ke kampung halaman bagi mengundi dalam PRU15 disebabkan tiket penerbangan mahal, selepas pengumuman bahawa hari pengundian ditetapkan pada 19 November.

Mereka turut bersuara di media sosial, menggesa pelbagai syarikat penerbangan dan kementerian pengangkutan menurunkan harga penerbangan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe mengalu-alukan tarikh pengundian pada 19 November kerana pilihan raya pada Sabtu membolehkan lebih ramai orang keluar mengundi tanpa perlu mengambil cuti.

“Ini bererti mereka yang bekerja di luar kampung halaman boleh kembali pada Jumaat, mengundi pada Sabtu dan pulang pada Ahad. Tarikh ini bagus, dan saya percaya diterima semua pihak,” katanya.

Phoong turut menggesa syarikat penerbangan menurunkan harga tiket bagi menggalak rakyat Malaysia pulang mengundi.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin turut menerima positif tarikh pengundian pada 19 November kerana menganggap semua parti politik diberi masa mencukupi untuk bersedia menghadapi pilihan raya seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan berlaku banjir ketika itu.

Sementara itu, Bendahari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Ardino Diris menggesa rakyat Sabah di Sarawak dan Semenanjung supaya pulang mengundi.

Beliau malah menyokong gesaan Presiden Warisan Shafie Apdal supaya rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung dibenarkan mengundi pos.

“Bagaimanpun, undi pos ini mesti dilaksanakan mengikut undang-undang, dan lebih penting lagi, mesti telus tanpa sebarang risiko penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi sambil menyuarakan harapan untuk kempen pilihan raya yang sihat. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top