PUTRAJAYA: Berita baik buat warga Wilayah Sabah dan Sarawak yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini apabila harga tiket penerbangan bagi semua laluan ekonomi sehala ke dua negeri itu kini diturunkan antara RM300 ke RM500.
Ia jauh lebih rendah berbanding antara RM700 ke RM1,200 sebelum dan pada 14 April lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya mendengar keluhan dan rungutan rakyat mengenai harga tambang tiket penerbangan yang tinggi itu.
Beliau berkata, berita gembira itu berjaya dicapai selepas mengadakan perbincangan dan mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sukacita saya memaklumkan bahawa harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala ke kebanyakan destinasi dari Semenanjung ke Wilayah Sabah dan Sarawak telah menunjukkan penurunan ketara.
“Ia adalah bagi tempoh penerbangan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 iaitu daripada 27 April hingga 8 Mei 2022,” katanya menerusi kenyataan akhbar pada Isnin.
Katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memaklumkan, harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi pada 27 April hingga 8 Mei 2022 adalah antara RM105 hingga RM1,398, manakala, bagi 29 April hingga 1 Mei 2022 pula adalah antara RM195 hingga RM1,398.
Ka Siong berkata, berita ini diharap dapat menggembirakan ahli Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke Wilayah Sabah dan Sarawak memandangkan harga tiket penerbangan telah turun dengan jumlah yang ketara.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik yang telah bekerjasama rapat bagi mencapai persepakatan ini,” katanya.
Katanya, analisis lanjut menunjukkan bahawa dakwaan harga tambang melebihi RM3,000 bagi tiket penerbangan kelas ekonomi sehala seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini adalah sebenarnya bagi laluan udara dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dengan satu hentian di Kuching, Sarawak.
Dalam pada itu, katanya, beliau menggesa pengguna supaya merancang perjalanan mereka dengan membeli tiket penerbangan dengan segera bagi mendapat manfaat daripada tambang penerbangan yang lebih rendah ini. – UTUSAN