PUTATAN: Bekalan berkurang dan harga pembekal tinggi, situasi itu mendorong peniaga runcit menjual telur pada harga yang tinggi.
Peniaga di Pasar Awam, Rumia Parsim,38, berkata, ketika ini harga jualan telur mencecah hingga RM19 di sebahagian kawasan sekitar bandaraya ini.
Pada masa ini kenaikan harga telur antara RM0.60 sen kepada RM2 setiap papan dan keadaan itu mendorong peniaga sepertinya menjual telur pada harga yang lebih tinggi.
Beliau berkata, bekalan telur semakin berkurang sejak minggu lalu dan keadaan itu menyebabkan peniaga telur sepertinya mengehadkan penjualan kepada pelanggan terutama pemilik restoran.
Dahulu bekalan telur yang diperoleh 500 papan sehari namun, sekarang disebabkan bekalan berkurang, beliau hanya memperoleh 150 hingga 200 papan telur setiap hari.
Jelas beliau, sukar untuk mengehadkan pembelian telur kepada pelanggan kerana kebanyakan adalah pelanggan tetap dan juga pemilik restoran.
Turut menunjukkan peningkatan harga barangan yang ketara adalah minyak masak paket yang mencecah RM5 setiap paket.
Peniaga, Karlin Jimmy, 36, berkata, jika dahulu harga sekotak minyak paket daripada pembekal kira-kira RM40 tapi sekarang, harga sekotak mencecah RM70.
Sebelum ini, harga jualan minyak paket di pasar ini adalah RM3.50 dan sekarang naik kepada RM5.
“Memandangkan harga daripada pembekal atau orang tengah memang sudah mahal maka, peniaga seperti kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menjual pada harga yang tinggi,” katanya.
Walau bagaimanapun, susulan kekurangan bekalan dan aduan pelanggan bahawa harga baharu itu membebankan maka, beliau tidak lagi menjual minyak paket.
Keuntungan yang diperoleh peniaga kecil-kecilan seperti mereka tidak banyak dan mereka juga tidak mahu membebankan pelanggan dengan harga yang terlalu tinggi.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial, peniaga di Pasar Awam Putatan menjual minyak peket bersubsidi pada harga RM5, berbanding harga RM2.50 yang ditetapkan kerajaan. – Borneo Today