Harga paku 20 sen sebatang?

paku-simen.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

PAITAN: Paku simen dijual dengan harga 20 sen sebatang sedangkan dalam senarai harga barang perkakasan sepatutnya dijual dengan harga RM1 untuk setiap lapan batang.

Itu antara kesalahan yang dikesan iaitu menjual barang dengan harga yang lebih tinggi dalam satu tinjauan mengejut oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sekitar Pekan Botition, Sugut dekat sini pada Isnin.

Sinar Harian dalam laporannya memetik James sebagai berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada penduduk bahawa barang perkakasan yang dijual di kedai milik warga Pakistan lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Selepas diperiksa memang betul harga yang dipamerkan tidak sama dengan harga jualan dan penduduk kampung telah melaporkan perkara ini kepada saya selepas mendapati barangan ini dijual bukan mengikut per kilogram tapi mengikut harga per unit,” katanya selepas melakukan tinjauan tersebut.

Katanya lagi, penjualan minyak masak bersubsidi juga harus dipantau kerana ada peniaga menaikkan harga yang telah ditetapkan.

“Harga minyak masak dipamer di tempat lain tetapi minyak berada dalam kotak. Ini bermakna apabila pelanggan meminta minyak masak, mereka sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak masak bersubsidi tersebut.

“Orang kampung tidak tahu bahawa minyak masak ini sudah ditetapkan harga jualannya iaitu tidak melebihi RM2.50 bagi satu peket. Sekiranya ada orang kampung yang tidak faham mengenai harga subsidi ini, peniaga boleh menaikkan pada harga antara RM3 hingga RM4 bagi satu kilogram atau satu peket.

“Malah, ada juga pelanggan yang dalam kalangan mereka yang bekerja di estet yang tidak tahu harga sebenar minyak masak tersebut jadi ada peniaga yang menjualnya dengan harga mencecah RM5 satu peket,” katanya.
Sehubungan itu, James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang sengaja menaikkan harga barang dengan tinggi dan hukuman akan dikenakan dengan semaksimumnya kepada pesalah.

“Saya bersama KPDN akan memantau setiap masa mengenai isu kenaikan harga ataupun urus niaga kedai-kedai Pakistan kawasan Sugut ini.

“Jika ia berlaku, saya akan minta KPDN menutup premis perniagaan mereka,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top