KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dikhuatiri berdepan kemungkinan peningkatan harga beras dalam tempoh dua tahun dari sekarang, jika tahap pengeluaran padi tempatan gagal ditingkatkan.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis berkata, jangkaan itu berdasarkan tindakan negara pengeluar beras utama Asia, khususnya India dan Vietnam mengehadkan eksport bahan makanan itu.
Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera meningkatkan tahap sara diri beras tempatan yang ketika ini pada paras 23 peratus bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import dari negeri atau negara lain.
“Pada 15 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjawab soalan saya di Dewan Rakyat mengenai kesan tindakan Vietnam mengurangkan eksport beras dan beliau memberi jaminan bekalan beras di negara ini tidak terjejas memandangkan Malaysia masih boleh mengimport dari India, Thailand, Pakistan dan negara Asia lain.
“Namun, bulan ini India juga memutuskan untuk mengurangkan eksport beras. Kebimbangan kita ialah keadaan kemarau atau banjir akibat perubahan iklim di Asia juga berpotensi mengganggu pengeluaran padi di negara lain dan turut mengurangkan eksport beras,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihaknya percaya jika bekalan beras di negara ini kekal pada tahap 70 peratus tempatan dan 30 peratus import, harga beras yang diimport berkemungkinan mengalami peningkatan.
Katanya, situasi itu dijangka menyebabkan jutaan rakyat negara ini beralih ke beras tempatan sekali gus mengakibatkan mekanisme permintaan dan penawaran menekan harga beras di Sabah.
“Dua hari lalu, Jabatan Perangkaan mengeluarkan Indeks Harga Pengguna untuk bulan Jun dan menyatakan bahawa purata harga beras di Sabah ialah RM29.73 bagi beras super tempatan lima peratus hancur 10 kilogram.
“Jika tiada tindakan konkrit diambil bagi meningkatkan tahap sara diri beras, jangan terkejut kalau harga beras bagi kategori yang sama meningkat sehingga RM35 atau lebih tinggi bagi berat 10 kilogram dalam jangka masa setahun atau dua tahun akan datang,” katanya.
Ketika ini, pengeluaran beras tempatan Sabah sebahagian besarnya dari kawasan jelapang padi negeri di Kota Belud, ditambah kawasan pengeluaran lain yang kebanyakannya di daerah pantai barat, utara dan pedalaman.
Kerajaan Negeri sebelum ini menyasarkan untuk meningkatkan tahap pengeluaran sara diri beras tempatan kepada 70 peratus menjelang 2025 berbanding tahap sara diri sekarang iaitu antara 21 peratus hingga 23 peratus. – HMetro