Harga Ayam Lebih RM10 Sekilo Bulan Depan – FLFAM

ayam.jpg

(gambar hiasan)

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Harga sekilogram ayam dijangka melebihi RM10 selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam dan pemberian subsidi kepada penternak pada 30 Jun, kata Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Penasihatnya, Datuk Jeffery Ng Choon Ngee, berkata penamatan kedua-dua insentif daripada kerajaan itu, sekali gus menyebabkan kos keseluruhan ditanggung penternak meningkat melebihi RM7 sekilogram, selaras dengan peningkatan harga makanan ayam.

“Sekarang, harga sekilogram ayam adalah RM8.90 iaitu harga ayam segar dari ladang, tetapi sekarang kami masih mendapat subsidi sebanyak RM1.40 bagi sekilogram ayam.

“Harga dedak hari ini satu beg lebih kurang RM130…paling murah. Satu kilogram dedak pula lebih kurang RM2.60. Ini hanya dedak sahaja dan bagi kira-kira 1.7kg ayam, kos dedak sudah lebih RM4, manakala anak ayam yang kami beli berharga RM2.30 hingga RM2.40 seekor,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, penternak bukan saja perlu menanggung harga pembelian anak ayam dan dedak, tetapi juga perlu mengambil kira kos lain seperti gaji, ubat vaksin dan elektrik.

Justeru, katanya, FLFAM berharap dapat melakukan perbincangan dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, bagi menentukan harga baharu ayam munasabah dan mengambil kira kepentingan rakyat serta penternak ayam di negara ini.

Jeffery berkata, perbincangan berkenaan penting bagi memastikan tiada pihak akan mengambil kesempatan terhadap penamatan kedua-dua insentif itu dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Semalam, dilaporkan harga ayam dijangka naik bulan depan apabila harga mula diapungkan susulan berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam, penghujung bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top