Harapan Rakyat serah pucuk pimpinan GRS tentukan calon PRN

Liew-Yun-Fah.jpg

Liew Yun Fah

Kongsi Bersama

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menyerahkan sepenuhnya pucuk pimpinan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menentukan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya tidak akan berebut soal pembahagian kerusi DUN, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan GRS memilih calon yang layak.

Katanya, Harapan Rakyat adalah komponen dalam GRS dan perlu patuh dengan setiap keputusan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan terutamanya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Bagi saya tidak guna kita mahu berebut kerusi atau meletakkan banyak calon sekiranya kawasan itu sukar untuk menang.

“Kita mahu diberikan kerusi yang berpotensi atau sudah tentu boleh memenangi undi dan hati rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Desa Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Persidangan Agung Perwakilan Khas Parti Harapan Rakyat Sabah, di sini semalam.

Menurutnya, Harapan Rakyat sudah semakin diterima rakyat, bukan sahaja di bahagian Pantai Timur Sabah, bahkan dari seluruh negeri ini.

“Ramai dalam kalangan ahli kita di seluruh Sabah yang sudah lama tidak aktif dan kini menyatakan hasrat untuk berjuang kembali bersama Harapan Rakyat.

“Mereka sudah melihat kesungguhan kita berkhidmat dan membela nasib rakyat, lebih-lebih lagi Harapan Rakyat kini bersama dengan komponen parti tempatan dalam GRS,” katanya.

Liew berkata, pada persidangan kali ini, Harapan Rakyat telah menerima keahlian baharu sebanyak hampir 3,000 orang dari seluruh negeri Sabah.

“Ini menunjukkan Harapan Rakyat sudah menuju kearah parti yang semakin berkembang dan boleh diterima oleh seluruh rakyat di negeri ini.

“Justeru, kami akan sentiasa komited dalam memenangi hati rakyat dan cuba menambah keahlian baharu dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan golongan belia dapat bersama-sama dengan Harapan Rakyat dan membantu merealisasikan hala tuju kerajaan negeri.

“Belia perlu mempunyai wawasan serta sikap kepimpinan dalam diri masing-masing dan jangan mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak berfaedah di luar sana.

“Saya mempunyai harapan besar supaya belia dapat mewarisi parti ini pada masa hadapan dan menjadi pemimpin yang boleh membangunkan negeri ini,” katanya.

Dalam majlis itu, Harapan Rakyat telah menerima sumbangan sebuah van untuk kegunaan pergerakan parti di daerah ini. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top