TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) tampil menyalurkan bantuan kerusi roda kepada wartawan veteran RTM Masniah Djaman yang kini sedang terlantar sakit di rumahnya.
Presiden Harapan Rakyat, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya datang melawat selepas mendapat tahu tentang keadaan yang dialami oleh Masniah.
Katanya, sumbangan yang diberikan ini adalah tanda keprihatinan pihaknya terhadap kesusahan yang dihadapi oleh beliau.
“Saya mendapat tahu bahawa beliau memerlukan kerusi roda yang boleh laras bagi memudahkan pergerakannya di rumah.
“Justeru, saya tidak menunggu lama sebaik mengetahui hal berkenaan dan terus meluangkan masa melawat serta menyampaikan kerusi roda berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melawat Masniah, di sini semalam. Turut hadir Naib Presiden Harapan Rakyat Datuk Supardianshah Suyuti.
Menurutnya, beliau adalah insan yang banyak berjasa kepada pemimpin dan masyarakat dengan melaporkan berita-berita sahih.
“Semasa berkhidmat sebagai wartawan di daerah ini, beliau sangat aktif turun ke lapangan terutamanya ke program-program kerajaan.
“Beliau juga banyak membantu semasa saya baharu menceburkan diri dalam dunia politik dan menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai,” katanya.
Liew berkata, tanpa bantuan liputan media tidak kira cetak mahupun elektronik, masyarakat sukar mendapatkan berita yang sahih.
Katanya, pemimin kerajaan juga memerlukan bantuan media untuk menyampaikan dasar-dasar yang akan dilaksanakan di negara ini.
“Saya berharap pemimpin dan masyarakat yang mengenali beliau datanglah melawat untuk memberikan semangat supaya dia cepat sembuh.
“Harapan saya juga supaya Masniah dapat bersabar menghadapi dugaan yang dihadapi dan berdoa semoga beliau sembuh seperti sedia kala,” katanya. – Utusan Borneo