TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan terus komited dalam menyantuni rakyat di Kukusan dan kawasan sekitar daerah Tawau.
ADUN Kukusan Rina Jainal berkata, sepanjang dua minggu bersama Harapan Rakyat, pihaknya telah menyantuni ramai pihak termasuk KRT, persatuan-persatuan, warga emas, orang uzur, asnaf dan ibu tunggal.
Rina yang juga Timbalan Presiden Harapan Rakyat berkata, antara golongan yang sering menjadi perhatian pihaknya juga adalah pemandu teksi, pemandu e-hailing dan ‘food rider’.
“Mereka inilah antara golongan yang keluar bekerja pada awal pagi dan pulang ke rumah lewat malam demi mencari rezeki untuk keluarga.
“Ada pelbagai masalah yang mereka hadapi termasuk terjejas pendapatan, lesen dan insuran kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Pejabat ADUN Kukusan dan Parti Harapan Rakyat meneruskan usaha menyantuni golongan ini menerusi agihan bakul makanan.
Seramai 48 daripadanya telah diberikan kepada pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider pada Khamis lalu, manakala 15 lagi akan diedarkan secara berperingkat bermula semalam.
Rina mengharapkan dengan fasa endemik COVID-19 ini, ekonomi golongan tersebut semakin baik khususnya membabitkan pemandu teksi.
“Pertemuan ini juga membolehkan saya mendengar sendiri masalah mereka selain bertukar-tukar buah fikiran ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat.
“InsyaAllah, kami akan menjejaki lebih ramai pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider yang memerlukan bantuan untuk disantuni,”katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Foto: Unit Media Pejabat ADUN N70 Kukusan