Harap Kerajaan Perpaduan Tunaikan Tuntutan Sabah

Dr-Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah berharap akan ada keputusan muktamad berhubung tuntutan pengembalian hak negeri ini di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata antara yang paling utama diberikan perhatian kerajaan Persekutuan ialah tuntutan Sabah berkaitan hak kewangan.

“Saya kenal sangat Perdana Menteri yang baru ini dan beliau juga kenal saya termasuk tahu mengenai tuntutan kita.

“Sehubungan itu, saya berharap dengan kerjasama negeri dan Persekutuan yang ada ketika ini, kita akan dapat melihat keputusan yang baik berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata antara hak kewangan yang dituntut Sabah ialah pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri ini dan 10 peratus cukai eksport petroleum.

Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata walaupun Sabah ketika ini menerima RM120 juta setahun daripada cukai eksport dan eksais, ia berhak menerima 10 peratus daripada cukai eksport produk petroleum yang dianggarkan mencecah RM10 bilion setahun.

“Oleh itu, Sabah sepatutnya menerima kira-kira RM1 bilion setahun (cukai produk petroleum),” katanya.

Tuntutan hak kewangan, khususnya pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip di Sabah adalah antara perkara dituntut dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Kegagalan kerajaan sebelum ini membuat keputusan berhubung rundingan itu menyebabkan harapan kini disandarkan kepada Anwar.

Jeffrey sebelum ini menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang diketuai Jeffery adalah antara parti komponen GRS diketuai Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang mengukuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar hingga memperoleh dua pertiga sokongan di Dewan. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top