Hanya salah faham, tiada isu dalam pelantikan ketua adat DUN Lamag – Abu Bakar

abu-bakar-gapar.jpg

Abu Bakar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lamag menafikan dakwaan bahawa semua jawatan peringkat kampung telah dibolot oleh parti itu dan mengetepikan parti komponen lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketuanya Abu Bakar Gapar berkata, video mengenai dakwaan itu yang tular di media sosial adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan merosakkan nama baik parti Gagasan Rakyat dan beliau sendiri selaku Ketua Bahagian Lamag.

Menurut beliau sebenarnya tidak berbangkit soal berlaku kekecohan dan ketidakadilan dalam isu pelantikan pemimpin akar umbi seperti yang digambarkan di media sosial, termasuk video yang disebarkan itu.

“Apa yang berlaku adalah salah faham oleh seorang Ketua Bahagian sebuah parti komponen GRS semasa menyampaikan ucapan ringkas sebelum Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 4 Julai 2024 lalu.

“Kemungkinan beliau kurang informasi berkaitan dengan pelantikan itu sehingga beranggapan bahawa wakil parti itu telah dibelakangkan,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, berdasarkan senarai ketua-ketua adat yang dilantik, yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri tiga orang daripada parti berkenaan telah dilantik, berserta dengan beberapa orang lagi daripada parti-parti komponen yang lain.

Tambah beliau, Kementerian Kerajaan Tempatan membuat pelantikan itu adalah berdasarkan merit setelah menerima syor-syor nama daripada parti-parti komponen GRS, serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2022.

“Pemimpin parti-parti komponen GRS bahagian Lamag yang dilantik mengisi kekosongan jawatan Ketua Adat mencapai 56 peratus berbanding parti dominan dari segi ahli dan senioriti. Justeru, Tidak wujud isu soal ketidakadilan.

“Mengenai tuduhan bahawa pemimpin parti PKR tidak dijemput juga tidak benar kerana Ketua Wanita Cabang PKR Kinabatangan, Puan Siti Jahara menghadiri majlis itu mewakili parti tersebut setelah Ketua Cabang dan Setiausaha Bahagian PKR Kinabatangan tidak dapat hadir atas sebab tertentu,” katanya lagi.

Abu Bakar berharap dengan penjelasan beliau tidak timbul lagi isu ketidak adilan dan perselisihan antara parti-parti komponen GRS di kawasan Lamag.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gagasan Rakyat di Kinabatangan tetap kukuh bersatu,” tegas beliau.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top