Hanya Dua, Bukan 300, Kata Bersatu Putatan

Mohd-Isquzawan-Israq.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Armada Bersatu Putatan, Mohd Isquzawan Israq Datuk Seri Arsit (gambar) menafikan 300 ahli Bersatu bahagian itu keluar parti dan menyertai Umno.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh pemangku ketua bahagian Umno Putatan Jeffrey Nor adalah tidak berasas dan sengaja diada-adakan untuk mengejar populariti murahan.

“Memang dua orang keluar parti, ketua cawangan Sembulan Selatan dan ketua cawangan Tanjung Aru Lama tetapi ketua Srikandi, Armada dan ahli cawangan masih bersama Bersatu.

“Malah cawangan baru sahaja mengadakan persidangan perwakilan mereka dan oleh itu masih aktif. Jadi dakwaan Jeffrey hanya cakap kosong dan Sulaiman Salleh, individu yang mendakwa mewakili kumpulan itu, dia bukan ahli Bersatu dan kita tidak tahu siapa individu itu,” katanya.

“Saya cabar Jeffrey untuk membuktikan dari mana 300 ahli Bersatu itu berasal. Cukuplah dengan pembohongan ini, jadilah pemimpin yang bertanggungjawab dan jangan membuat dakwaan tidak berasas,” kata Mohd Isquzawan Israq ketika mengulas laporan media bahawa 300 ahli Bersatu dan Parti Warisan di kawasan parlimen Putatan telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Umno pada Sabtu.

Jeffrey dipetik sebagai berkata sebelum ini, seramai 630 ahli Bersatu dan Warisan Putatan turut memohon menyertai Umno.

“Ini adalah kumpulan kedua ahli Bersatu dan Warisan yang telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Umno kerana mereka mendakwa kecewa dan tertipu dengan pelbagai janji manis parti,” dakwa Jeffrey.

Mohd Isquzawan Israq percaya tindakan Jeffrey itu bermotifkan keinginannya untuk dicalonkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Putatan.

“Saya menasihatkan beliau supaya menjadi pemimpin yang benar-benar bekerja untuk parti yang disertainya dan tidak memanipulasi nombor untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Isquzawan Israq dalam pada itu mendedahkan kesemua 80 cawangan Bersatu Bahagian Putatan termasuk empat yang masih di peringkat ‘penaja’ telah mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing.

Beliau juga berkata persidangan perwakilan Bersatu Putatan dijangka diadakan pada 9 Oktober ini dengan kehadiran 600 wakil. – The Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top