Hanya 355,000 Rakyat Sabah Daftar Program Vaksinasi

noor_hisham_tuaran_hosp_04042021.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan untuk membantu masyarakat luar bandar mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu antara pendekatan alternatif berkesan untuk mendekati penduduk di kawasan itu yang kurang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sabah mempunyai seramai 3.9 juta penduduk, namun setakat ini hanya 355,000 orang sahaja yang sudah mendaftarkan diri untuk menyertai program vaksinasi ini.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk pendaftaran dilihat kurang berkesan terutama dalam kalangan penduduk luar bandar dan perlu ada alternatif lain bagi mendaftarkan mereka.

“Keperluan untuk setiap kawasan luar bandar mungkin berbeza. Oleh itu, KKM sebagai contoh akan bekerjasama dengan polis, tentera dan Rela untuk masuk ke kawasan pedalaman.

“Kerjasama itu juga dilihat secara tidak langsung dapat memastikan keselamatan kakitangan KKM yang masuk ke sesuatu kawasan untuk mendaftar atau memberikan vaksin kepada penduduk,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke Hospital Tuaran, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pemilihan vaksin secara dos tunggal adalah lebih baik buat penduduk luar bandar berbanding pemberian dos berganda.

Katanya, vaksin dos tunggal terbaik ketika ini adalah keluaran CanSino dan Johnson & Johnson.

Mengenai vaksin AstraZeneca yang dikatakan memberi kesan sampingan termasuk pembekuan darah dan mengakibatkan kematian, katanya, tiada alasan bagi Malaysia untuk berhenti daripada mendapatkan vaksin itu.

“Kejadian ini jarang terjadi dan manfaat vaksin AstraZeneca melebihi risiko,” katanya.

Terdahulu, Noor Hisham melawat persiapan hospital awam dan swasta di daerah ini yang terbabit sebagai pusat pemberian vaksin.-HMetro


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top