KOTA KINABALU: Hanya 789 pendaftaran baharu penerima vaksin COVID-19 direkodkan semalam, menjadikan peratusan pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah sebanyak 22.9 peratus setakat ini.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan peratusan itu mewakili 670,282 orang, masing-masing 601,736 mendaftar melalui MySejahtera, laman sesawang (68,315) dan 231 lagi melalui talian vaksinasi.
Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), hanya negeri ini merekodkan pendaftaran di bawah 40 peratus, iaitu di belakang Kelantan (42.08 peratus) dan Terengganu (47.95 peratus).
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata statistik penduduk yang sudah menerima vaksin menunjukkan seramai 181,522 orang mendapat dos pertama suntikan menerusi PICK Fasa 2, termasuk 8,724 orang semalam.
“Bagi suntikan dos kedua Fasa 2 pula, seramai 1,254 orang menerima suntikan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 50,669 orang. Bagi suntikan dos pertama dan kedua PICK Fasa 1, tiada suntikan baharu hari ini.
“Sehubungan itu, kumulatif penerima suntikan bagi kedua-dua dos kekal seramai 60,140 orang dan 53,186 orang,” katanya.