KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menganggap hantaran yang tular di media sosial mengenai kenyataan Ketua Bahagian PBS Petagas, Azmi Ahmad baru-baru ini tidak mewakili parti itu secara keseluruhannya.
Dalam hantaran di Facebook milik Azmi pada 22 September lalu memaparkan ungkapan ringkas yang menggambarkan harapannya supaya PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Warisan (Warisan) membentuk satu kerjasama dalam politik.
Timbalan Ketua Bahagian PBS Petagas, Ng Tze Tsai menjelaskan bahawa hantaran itu adalah pandangan peribadi Azmi dan tidak mewakili pendirian PBS.
“Berhubung dengan hantaran Facebook baru-baru ini ‘Kasi jadilah bah, PBS STAR+Warisan’ oleh Ketua Bahagian PBS Petagas, Azmi Ahmad, yang telah tular, kami ingin menjelaskan bahawa hantaran ini merupakan pandangan peribadi Azmi dan tidak mewakili pendirian PBS atau Bahagian PBS Petagas.
“Sebarang kekeliruan atau kesulitan yang timbul akibat perkara ini amat dikesali,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, PBS Bahagian Petagas menegaskan komitmen mereka untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PBS secara jelas menolak ‘lamaran’ untuk bekerjasama dengan Warisan selepas Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beberapa kali memberi bayangan berminat untuk bekerjasama dengan parti tempatan terutama PBS.
Sementara itu, PBS dan STAR ketika ini merupakan rakan gabungan dalam GRS dan kedua-dua parti itu turut menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah. – Penerangan Gagasan Rakyat