Selepas 25 tahun bergelar pelakon dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan baru-baru ini, Datuk Hans Isaac, 50, memaklumkan dia bakal membuka rangkaian pawagam di bawah jenama 10Star Cinemas di Sabah.
Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac berkata, sebagai permulaan, dia akan membuka dua cawangan 10Star Cinemas dengan tagline ‘Panggung Untuk Rakyat’ tahun ini.
Cawangan pertamanya di Bintang Kubota, Tawau dibuka mulai hari ini (16 Disember), disusuli dengan pembukaan cawangan di Sandakan pada hujung bulan ini.
“Sebenarnya masa aktif berlakon dulu saya pernah bercita-cita untuk memiliki pawagan sendiri sebaik berhijrah dari dunia lakonan dan perancangan sudah bermula hampir dua tahun lalu. Namun, sekitar lima bulan lalu saya bersama rakan kongsi bergabung tenaga untuk merealisasikannya.
“Saya tak dapat kongsikan berapa cawangan yang bakal dibuka di Sabah, tapi kami sudah ada beberapa perancangan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Ditanya mengenai kos pembukaan pawagam, Hans bagaimanapun tidak dapat berkongsi maklumat terbabit sebaliknya mengakui perniagaan yang diusakana itu menelan kos yang besar.
“Apa yang pasti untuk merealisasikannya (pawagam) bukan murah dan senang. Ini adalah satu perniagaan dan pelaburan yang besar serta berisiko tinggi.
“Tapi, misi kami adalah untuk menjadikan pawagam ini sebagai panggung untuk rakyat selain memberi peluang pekerjaan kepada anak muda yang sudah tamat belajar.
“10Star Cinemas juga akan memberikan latihan khusus kepada individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini.
“Perniagaan ini bukan semata-mata untuk orang menonton wayang saja, tetapi saya ingin mewujudkan satu komuniti dan ekosistem ekonomi yang mana menjadi sistem bantuan kehidupan yang berkualiti,” katanya.
Sumber berita: hmetro