KUALA LUMPUR: Lawatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ke Sabah kelmarin, bagi membincangkan cadangan konsep baharu Sukan Malaysia (SUKMA) dan pembangunan sukan di negeri itu.
Ini kerana Sabah mempunyai banyak potensi dalam membangunkan sukan di Malaysia dan kerajaan sedia meningkatkan kemudahan infrastruktur diperlukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini, berkata Hannah melihat sendiri kemudahan infrastruktur dan perkembangan pembangunan sukan di Sabah serta sedia menyediakan intervensi diperlukan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Sabah adalah lawatan keempat Hannah selepas lawatan kerja ke Johor, Sarawak dan Kelantan baru-baru ini.
“Dalam lawatan kerja sehari itu, Hannah turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Hannah kemudian mengadakan beberapa lawatan turun padang di sekitar Kota Kinabalu bermula di Darau Sedi Belud Traditional Archery Club untuk melihat infrastruktur sukan tradisi memanah di Kampung Darau, Menggatal.
“Beliau kemudian ke Stadium Ragbi Likas bagi memantau projek terbengkalai supaya ia dapat diteruskan dengan segera, disusuli melawat Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu bagi melihat sendiri keadaan fasiliti sedia ada,” katanya.
Katanya, Hannah kemudian mengadakan pertemuan bersama atlet renang Penampang Preppies Club di Kompleks Sukan Penampang.
Kompleks renang itu sudah menjadi pusat latihan dan pembangunan kepada 120 perenang di Sabah yang berusia lingkungan enam hingga 18 tahun.
“Hannah kemudian mengadakan pertemuan bersama pemain ragbi wanita pasukan Sabah U17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, Penampang.
“Lawatan itu bertujuan melihat sendiri kegigihan atlet menjalani latihan dan memberi sokongan moral kepada mereka untuk terus berusaha demi kejayaan sukan ragbi Sabah,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pengisian lawatan Menteri dan Sukan itu ke Sabah turut disusuli lawatan ke Layang-Layang Flying Academy.
Katanya, ia bagi mendengar taklimat potensi industri ‘sports aviation’ dan pembabitan belia wanita dalam sektor penerbangan.
“Lawatan diakhiri dengan menyantuni petugas di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sabah,” katanya. –BH