Halang lori guna jalan kampung sebagai protes aktiviti lombong emas

lombong-haram.jpg

Penduduk Balung bantah aktiviti perlombongan emas yang didakwa dilakukan secara haram di Bukit Mantri, Tawau.

Kongsi Bersama

TAWAU: Pusat Komuniti Kampung Balung Kokos tidak akan membenarkan lori tangki minyak sebuah syarikat menggunakan jalan kampung tersebut sebagai tanda protes untuk menghalang aktiviti perlombongan emas yang didakwa dilakukan secara haram di Bukit Mantri, di sini.

Tanda protes itu dilakukan susulan kerajaan negeri didakwa masih gagal menghentikan aktiviti perlombongan emas di kawasan tersebut.

Wakil penduduk, Kelana Benza, 63, mendakwa, laporan polis dan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah banyak dilakukan namun tiada tindakan diambil dan aktiviti perlombongan masih beroperasi secara berleluasa.

Dakwanya lagi, syarikat terbabit tidak mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta kelulusan ‘Operational Mining Scheme’ (OMS) daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Jadi jangan halang jika penduduk kampung sendiri melakukan protes kerana ia merupakan aktiviti menarah hasil bumi yang boleh dijalankan secara sesuka hati tanpa ada kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Saya sendiri sudah membuat laporan polis tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil dan kilang perlombongan emas haram ini masih beroperasi seolah-olah mereka kebal daripada tindakan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Katanya lagi, sekiranya aktiviti perlombongan itu masih gagal mendapatkan kelulusan, Pusat Komuniti Kampung Balung Kokos tidak akan membenarkan lori tangki minyak menggunakan jalan kampung tersebut.

“Setiap hari penduduk terpaksa ‘makan’ habuk, jalan kampung rosak manakala hasil bumi di kampung kami diambil. Apa yang penduduk kampung dapat hanyalah pencemaran sungai serta menyedut udara kotor.

“Saya mengusahakan perkhidmatan pelancongan, ada beberapa ketika kawasan ini ditutup kepada pengunjung akibat pencemaran sungai yang sangat kritikal, sudah tentu ia sangat menjejaskan sumber pendapatan utama di kampung ini,” katanya.

Kelana bagaimanapun berkata, mereka tidak membantah aktiviti perlombongan itu kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung tetapi perlu ada dokumen yang sah.

“Pihak syarikat haruslah mengikuti semua garis panduan serta peruntukkan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

“Sekiranya ada lesen sudah tentu ada perlindungan insurans pekerja serta mengelak daripada kejadian yang tidak diingini berlaku di masa depan,” katanya. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top