KOTA KINABALU: ‘Menghalalkan’ pendatang tanpa izin untuk bekerja di negara ini adalah idea ‘bodoh’, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata tindakan terbaik sebenarnya ialah menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal supaya tidak timbul isu terutama membabitkan tenaga buruh Malaysia.
“Ia adalah idea yang ‘bodoh’. Apabila seseorang datang secara haram ke negara anda, anda mesti menghantar mereka (balik) bukan menghalalkannya,” katanya.
Menurut beliau, ‘menghalalkan’ mereka yang datang secara haram akan menyebabkan lebih ramai yang akan memasuki negara ini secara tidak sah.
“Kita tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang boleh menggalakkan kedatangan pendatang tanpa izin ke negara kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan forum nasional bertajuk ‘Migrasi Modal Insan dan Kesannya terhadap Sabah’ di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Seri Jamil Salleh.
Sementara itu, Saravanan menyuarakan kebimbangannya terhadap penghijrahan terutama melibatkan golongan muda dari Sabah ke negeri lain bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik.
Beliau berkata pada 2020 sahaja, seramai 45,900 orang dari Sabah berhijrah keluar dari negeri ini.
“Kementerian komited untuk bekerjasama dengan semua pihak di Sabah untuk membangunkan dan melaksanakan dasar yang boleh menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang baharu untuk pekerja mahir dan berpengetahuan di negeri ini.
“Kementerian akan terus memperkenalkan inisiatif yang boleh membantu rakyat Sabah meningkatkan kemahiran, kemahiran semula, kemahiran silang dan pelbagai kemahiran melalui agensi kami HRD Corp. Ini akan dilengkapkan dengan program yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perbadanan Dana Pembangunan Kemahiran dan TalentCorp, ” katanya. – Bernama