Hala Tuju SMJ berjaya perbaiki prestasi ekonomi Sabah

Hajiji-sidang-Gagasan-Rakyat.jpg

Hajiji disambut meriah ketika tiba di Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 berjaya merubah dan memperbaiki prestasi ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat Pandemik COVUD-19.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, situasi mula berubah, apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan negeri pada hujung bulan September, 2020.

Katanya, kerajaan negeri telah mengadaptasikan konsep politik pembangunan melalui suatu dasar yang realistik, pragmatik, sesuai, secocok dengan kehendak dan keperluan negeri.

“Pendekatan mesra pelabur yang kita ambil, telah berjaya menarik masuk beberapa syarikat besar ke negeri ini, dimana pada tahun lalu sahaja nilai pelaburan yang tercatat berjumlah RM11.34 bilion, merupakan yang ke-7 tertinggi dalam negara.

“Serentak dengan itu, hasil negeri turut meningkat naik pada tahun yang sama yang mencecah RM7 bilion, merupakan yang tertinggi dalam sejarah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024, pada Ahad di sini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri juga berupaya meningkatkan peratus pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran 4.5 sehingga 5 peratus pada tahun ini.

Katanya, semua ini dapat dicapai kerana mempunyai iltizam politik yang tinggi.

“Pertama, untuk mewujudkan kestabilan politik. Kedua, untuk memulihkan semula ekonomi negeri.

“Ketiga, bekerja keras untuk memantapkan sistem penyampaian dalam sektor awam, termasuk memantapkan hubungan baik dengan sektor swasta.

“Keempat, menjaga dan memelihara hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, keempat-empat pendekatan ini telah berhasil membawa negeri ini kembali ke landasan yang tepat.

Hajiji berharap rakyat akan terus memberikan mandat kepada pihaknya pada pilihan raya akan datang, kerana agenda besar pembangunan seperti yang terkandung di dalam Hala Tuju SMJ masih banyak yang perlu dilaksanakan.

“Kerajaan negeri akan terus menerokai sumber-sumber baharu untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri kita ini dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

“Pada masa sama, pelan pembangunan juga akan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan. Untuk itu, kerajaan negeri bertekad menerokai potensi Ekonomi Biru, iaitu sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negeri melalui penerokaan khazanah laut yang berpotensi tinggi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui, serta lain-lain produk industri yang boleh diperolehi daripadanya,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Sabah yang luar biasa strategik, dikelilingi oleh Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, sangat sesuai untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri menyedari bahawa modal insan merupakan aset terpenting dalam pembangunan negari.

Justeru katanya, pembangunan modal insan menjadi antara intipati Hala Tuju SMJ yang lebih holistik dan inklusif.

“Kerajaan negeri telah menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini berjumlah RM118 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.

“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri juga telah umumkan pemberian subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 seorang kepada anak-anak Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Dan baru-baru ini, ketika menghadiri Konvensyen Mahasiswa GRS, saya telah juga mengumumkan pemberian subsidi pengangkutan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah yang belajar di dalam negeri,” katanya.

Seiringan dengan itu katanya, kerajaan juga menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai pelengkap kepada bantuan pendidikan sedia ada selain penubuhan Yayasan Kebajikan Sabah, beserta beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu rakyat yang sangat-sangat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, membasmi kemiskinan, terutama miskin tegar, adalah antara agenda penting kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif dengan menawarkan pekerjaan kepada Ketua atau ahli dalam Isi Rumah golongan berkenaan.

“Program ini melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan dengan sektor swasta, yang diselaraskan oleh Sekretariat SMJ, merupakan program yang berterusan.

“Sebagai contoh, dua buah syarikat pelabur yang beroperasi di KKIP, telah menawarkan peluang pekerjaan kepada seramai 4,000 orang anak-anak tempatan dan beberapa orang daripadanya adalah dari golongan miskin tegar berkenaan.

“Dalam menoktahkan miskin tegar ini juga, kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan, di kesemua 73 kawasan DUN melibatkan kos berjumlah RM250 juta.

“Untuk makluman, melalui pemeteraian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, kita telah memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, dimana kerajaan negeri diberikan 50 peratus ekuiti (pegangan saham) di Lapangan Minyak dan Gas di Semarang, 25 peratus di Samur Petrochemical Plant, 25 peratus lagi di ZLNG di Sipitang, dan 10 peratus di Petronas LNG9,” katanya.

Selain itu katanya, pihak Petronas telah juga membayar 5 peratus cukai jualan kepada kerajaan negeri sejak 2021. – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top