‘Hak Sabah Tidak Dapat Dilindungi Jika Kita Tidak Bersatu’ – Hajiji

hajiji-GRS.jpg
Kongsi Bersama

KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah platform terbaik untuk semua parti di Sabah bersatu dan membawa pembangunan kepada negeri dan rakyatnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, tidak ada cara lain melainkan semua bersatu di bawah satu parti iaitu GRS.

“Kita tidak mempunyai alternatif lain selain berbuat demikian kerana kita telah lama berpecah belah,” katanya pada Program GRS Jelajah – Parlimen Kudat di Dataran Tomborungus, di sini pada Isnin.

“Tidak kira betapa berpengalaman atau hebatnya kita, kita tidak akan dapat melindungi hak Sabah kita dalam Persekutuan Malaysia jika kita tidak bersatu,” kata Pengerusi GRS itu.

Hajiji juga yakin Kerajaan Negeri sekarang yang merupakan kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional (BN) akan terus kukuh.

“Saya yakin Barisan Nasional Sabah mempunyai pendirian tersendiri dalam memastikan hak Sabah dilindungi. Tidak perlu dipengaruhi landskap politik di seberang,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan banyak hak negeri daripada Kerajaan Persekutuan dengan yang terbaharu penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang dijangka paling lewat tahun depan.

“Pendirian GRS mengenai MA63 adalah konsisten. Kita akan terus berjuang untuk apa yang menjadi milik kita,” katanya.

Hadir sama Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin, Penyelaras GRS Kudat, Datuk Dr Ruddy Awah, Bendahari BERSATU Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha BERSATU Sabah, Datuk Razali Radzi dan Srikandi Ketua BERSATU Sabah, Datuk Azizah Dun, antara lain.

Terdahulu, Hajiji bertemu dengan Ketua Bahagian BERSATU Kudat di Kampung Ayer dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Piala Ketua Menteri 2022 di Kelab Golf Kudat.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top