Hajiji: UMS perlu seiring matlamat RMK12 lahir bakat penuhi keperluan industri

Hajiji-UMS.jpg

(Kredit foto: FB Universiti Malaysia Sabah)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu bergerak seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menggariskan tumpuan meningkatkan kualiti pendidikan termasuk membangunkan bakat modal insan yang memenuhi standard keperluan industri.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) mahu UMS mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi berkualiti agar mampu menjadi pusat ilmu yang unggul dalam menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi serta memenuhi keperluan tenaga kerja mahir pada masa depan.

Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS turut menggalakkan universiti itu termasuk institut pengajian tinggi lain di Sabah memperkukuhkan kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan industri,“ katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 Kali Ke-29 UMS di sini pada Selasa.

Hajiji berkata kerajaan Sabah juga komited memberi kerjasama kepada UMS dalam meningkatkan kemajuan serta tahap pendidikan tinggi negara selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang antara lain memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras memulihkan ekonomi termasuk pembangunan modal insan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Majlis Perundingan Pelajar Sabah telah diperkenalkan bagi memberi ruang kepada perwakilan pelajar menyampaikan pandangan, idea dan aspirasi anak muda dalam memperkasa peranan belia di negeri ini.

Menurutnya penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah juga penting sebagai badan penghubung antara mahasiswa dan kerajaan Sabah termasuk dalam aspek menyampaikan pandangan pelajar serta informasi mengenai dasar diperkenalkan kerajaan negeri.

Beliau juga mahu UMS sentiasa dekat di hati masyarakat melalui inisiatif universiti untuk masyarakat yang dirangka bagi menggalakkan pemindahan ilmu berkualiti berasaskan kesarjanaan yang dijana di universiti awam kepada komuniti berkeperluan dengan bermatlamatkan kesejahteraan serta kemakmuran bersama.

“Peranan universiti dalam membantu masyarakat amat signifikan. Ahli akademik dan penyelidik serta pelajar perlu turun padang mengenal pasti masalah dihadapi masyarakat seterusnya membantu memberi solusi sewajarnya,” katanya. -BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top