Hajiji Tolak Dakwaan Ambil Alih Tanah 30 Ekar

Kongsi Bersama

TUARAN: Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan isu ambilalilh tanah 30 ekar hak milik penduduk di Kampung Tombol.

“Itu tidak betul dan perkara ini saya akan rujuk kepada peguam saya untuk saya ambil tindakan saman kerana mereka bercakap tentang perkara yang tidak ada asasnya, bukan fakta.

“Ni orang-orang suruhan yang bercakap ini tidak mengikut fakta dan semua ini adalah fitnah dan saya tidak bimbang tentang ini kerana memang saya akan saman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di markas Perikatan Nasional (PN) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Selaud di sini tengah hari kelmarin.

Hajiji yang juga merupakan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman berkata dalam berpolitik memang ada pelbagai isu boleh diperkatakan namun harus berlandaskan kepada fakta.

“Dalam politik ini macam- macam boleh diperkatakan tetapi penting juga untuk orang yang mahu berkata-kata itu untuk hanya mengeluarkan kata-kata yang fakta dan bukan bercakap walaupun perkara itu tidak betul,” katanya yang menyifatkan Warisan berkeadaan terdesak.

Terdahulu sebuah video tular di media sosial dan dipercayai video tersebut telah dihasilkan oleh pihak Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana terdapat logo parti itu dalam kandungan video tersebut.

Video berdurasi 3 minit 27 saat itu memaparkan wanita dan lelaki yang memberitahu tentang pemilikan tanah 30 ekar penduduk kampung yang kononnya diambil oleh Hajiji dan disalurkan kepada syarikat miliknya iaitu Borneo Corp.

Dalam video itu juga, mereka mengatakan bahawa Hajiji bersikap tidak adil sepanjang menjadi wakil rakyat di DUN Sulaman kerana bersikap pilih kasih dalam urusan bantuan kepada rakyat, termasuk pemilikan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Ini juga tidak betul sebab semua urusan pelaksanaan projek adalah bersama agensi dan jabatan kerajaan, mereka yang akan menilai dan mengatur siapa yang layak dan wajar untuk menerima bantuan perumahan itu, ini tidak ada kaitan dengan kita,” ujar beliau lagi.- New Sabah Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top