TUARAN: Tumpuan untuk mempromosikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi keutamaan sebagai dasar dan panduan kerajaan dalam membangunkan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan tidak pernah mempromosi diri sepanjang menjadi Ketua Menteri sejak kira-kira lima tahun lalu.
Menurutnya, apa yang lebih penting ialah usaha mempromosikan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ untuk membangunkan negeri ini.
“Apa yang ada dalam fikiran saya ialah untuk membangunkan Sabah, berusaha meningkatkan pendapatan negeri daripada RM4 bilion dan sekarang sudah sampai RM7 bilion, malah tahun ini hasil kita mungkin boleh mencapai hampir RM8 bilion.
“Kalau kita pandai urus negeri, kita boleh capai, kita ada dasar mesra pelabur, orang datang dari dalam dan luar negara buka perniagaan, kilang. Kalau mereka nampak kerajaan negeri tiada perancangan, politik tidak stabil mana mungkin mereka datang.
“Apabila mereka datang, ekonomi kita berkembang dan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat kita wujudkan, sudah beribu hingga puluhan ribu, ini yang kita buat.
“Bayangkan kalau kita tidak tahu mentadbir, ada dulu pemimpin yang kata dia pakar ekonomi, dia tidak dapat buat apa-apa. Dia cakap politik sana politik sini, jalan sana jalan sini, potong syarikat konsesi, macam-macam dia buat, tiada lain, dalam hati mereka itu saja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit di Masjid Nur Falah Kampung Mengkabong di sini semalam.
Hajiji berkata, berbeza dengan kerajaan terdahulu, kerajaan pimpinannya tidak pernah mengambil tindakan yang merugikan negeri setelah mengambil alih pentadbiran kerajaan.
“Kita rugi kalau buat begitu, tapi mereka dulu potong syarikat konsesi air, ada enam atau tujuh. Kita rugi bayar RM315 juta ‘for nothing’ kerana perintah mahkamah, ini kerja mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini supaya bijak menilai baik buruk dan belajar daripada sejarah lalu negeri ini demi mengekalkan kestabilan politik.
Beliau juga yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus yang ada sekarang sekali lagi mampu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Bagilah sokongan dan saya yakin di Pantai Dalit ini kita akan menang dengan majoriti cukup hebat, apa lagi cerita di Sulaman dan saya rasa empat kawasan DUN di Tuaran bukan saja Sulaman dan Pantai Dalit, tapi juga Tamparuli dan Kiulu tetap milik GRS.
“Kita tiada pilihan, tiada apa mereka (pembangkang) buat dulu, hala tuju pun tiada. Rakyat jangan terpengaruh cerita kotor dan fitnah pemimpin pembangkang, mereka tiada kerja lain, setiap hari itu saja,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, isu kesesakan jalan raya yang menjadi rungutan pengguna, khususnya di laluan dari Bulatan Berungis hingga T-Junction, di sini bakal selesai apabila projek naik taraf laluan berkenaan siap.
Katanya, peruntukan bagi projek itu sudah ada, manakala kontraktor juga sudah dipilih untuk melaksanakannya tidak lama lagi bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dengan kos lebih RM100 juta.
“Perkara ini selalu disebut Jasnih selaku ADUN Pantai Dalit kepada saya dan sebagai kerajaan yang bertangungjawab dan sebagai Ketua Menteri dari Tuaran, hal begitu memang menjadi keutamaan saya.
“Saya beri banyak sokongan bukan saja kepada Pantai Dalit, tapi juga Tamparuli dan Kiulu. Ini yang kita buat sebagai kerajaan, kita sungguh-sungguh pastikan pentadbiran kerajaan diurus dengan baik,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Samad Jamri; ADUN Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya; ADUN Tempasuk Datuk Arsad Bistari; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Victor Ationg. – Utusan Borneo