Hajiji Seru Masyarakat Global Bersama Sabah Tolak Tuntutan Sulu

timbangtara.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Masyarakat dunia diseru bersama-sama Sabah untuk menolak sebarang tuntutan tidak berasas daripada mereka yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, masyarakat dunia memainkan peranan penting dalam menyokong kedudukan negara ini dalam perkara terbabit.

“Kita sangat berbesar hati dengan solidariti yang ditunjukkan oleh rakan-rakan serta sekutu kita yang faham mengenai pentingnya menegakkan prinsip kedaulatan dan integriti wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial, di sini semalam.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan di Paris Perancis dan Hague, Belanda baru-baru ini adalah bukti komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi hak, integriti dan kedaulatan Sabah.

“Ia mengesahkan bahawa tuntutan yang dibuat oleh mereka yang mengaku sebagai keturunan Kesultanan Sulu adalah tidak berasas. Kita sentiasa berpendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan keputusan mahkamah ini mengukuhkan lagi pendirian kita,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sekali lagi bertegas untuk menolak perkara dipanggil ‘Anugerah Akhir’ yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 dan tidak mengiktiraf kesahihannya.

“Kita menganggapnya sebagai tidak berasas, tidak mempunyai asas undang-undang atau sejarah. Kita melihatnya sebagai percubaan untuk menjejaskan kedaulatan dan integriti Malaysia, khususnya berkaitan dengan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, anugerah akhir membawa percanggahan undang-undang antarabangsa yang berterusan diantara kerajaan Malaysia dan mereka yang mengaku sebagai keturunan Kesultanan Sulu.

“Anugerah inilah telah mencetuskan perbincangan dan perdebatan yang meluas, memerlukan perhatian kita serta maklum balas tegas.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman serta pasukan guaman kita yang diketuai oleh Peguam Negara bertungkus lumus berkerjasama dengan Peguam Besar Sabah bagi menentang tuntutan ini.

“Kerajaan negeri akan terus bekerja rapat dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya.

Hajiji juga menekankan usahasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Sabah Law Society (SLS) bersama pakar sejarah membantu kerajaan negeri dalam mengemudi landskap undang-undang yang kompleks ini.

“Penglibatan mereka menunjukkan keazaman kolektif untuk menangani isu ini secara menyeluruh dengan penuh profesionalisme.

“Melalui saluran ini, kita mampu mengumpulkan sumber, pengetahuan dan kepakaran undang-undang kita untuk meningkatkan pembelaan yang kukuh terhadap tuntutan yang tidak berasas.

“Kita meneliti dalam rekod sejarah secara menyeluruh, perjanjian antarabangsa, penyelidikan meluas, analisis dan perancangan strategik untuk mengukuhkan kedudukan kita sekali gus mengemukakan kes bagi menegakkan kedaulatan Sabah,” katanya.

Hajiji dalam pada itu turut berterima kasih kepada para pasukan penyelidik dan undang-undang kerana telah berjuang melindungi Sabah dan kepentingan negara. Kepakaran mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan mutlak untuk negeri ini.

Beliau juga menghargai sokongan rakyat Sabah yang mahu negeri ini sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“Kita akan terus berjuang selari dengan undang-undang sedia ada…Marilah kita berhimpun bersama sebagai Rakyat Malaysia, di Sabah dan di seluruh negara, untuk mengukuhkan komitmen kita terhadap keamanan dan perpaduan.

“Dengan bersatu hati, kita dapat memastikan generasi masa depan akan mewarisi negara ini yang menghargai kepelbagaian, hormat kepada sejarahnya dan menjunjung prinsip keamanan serta kestabilan.

“Bersama-sama kita amalkan supaya kita boleh terus membina masa depan yang lebih cerah untuk Sabah dan rakyat kita,” katanya.

 

Sumber: Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top