KOTA KINABALU: Para ketua industri dan usahawan muda di Sabah disarankan untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu merealisasikan agenda pembangunan untuk manfaat rakyat dan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri mahu golongan berkenaan menjadi rakan kongsi kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan Sabah.
Katanya, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk negeri ini menerusi kerjasama yang terjalin di antara kerajaan dan Ketua Industri dan Usahawan Muda Sabah (SYBIL).
Beliau berkata demikian ketika muncul secara spontan pada majlis libat urus di antara SYBIL dan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) di Menara Kinabalu di sini semalam.
Hajiji turut gembira dengan penglibatan kira-kira 100 peserta yang menyertai majlis itu yang terdiri daripada pemimpin muda bagi perusahaan yang sudah berjaya di Sabah.
“Saya terharu melihat keghairahan para peserta semua dan memuji inisiatif SEAC untuk memulakan dan memberikan suara kepada golongan muda dari industri perniagaan,” katanya.
Menurutnya, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada September 2020, kerajaan negeri tidak melengahkan masa dalam membuat penstrukturan semula ekonomi Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran berani untuk membangunkan Sabah dalam tempoh lima tahun mulai 2021 seperti yang ditunjukkan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sehingga kini jelasnya, kerajaan negeri berjaya merekodkan lebih RM12 bilion pelaburan membabitkan sebanyak 90 projek yang menjanjikan ribuan peluang pekerjaan.
“Minggu lalu, saya mengumumkan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion. Fasa satu projek itu akan bermula pada penghujung tahun ini dan siap pada 2026 dengan menjanjikan sebanyak 2,795 peluang pekerjaan semasa fasa operasinya.
“Dasar mesra pelabur kami turut menjadikan Sabah kondusif untuk pelaburan. Justeru, kami menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan meletakkan pelaburan sebagai asas kukuh untuk anak muda Sabah membina masa depan.
Sementara itu, Pengerusi SYBIL James Wong berkata, program itu adalah inisiatif membantu SEAC dalam merangka dasar untuk membangunkan ekonomi kepimpinan muda di negeri ini.
“SYBIL membantu menggerakkan kira-kira 100 pemimpin industri dan usahawan muda dari Sandakan, Tawau malah Kuala Lumpur yang datang khusus untuk majlis ini.
“Penglibatan mereka untuk membolehkan mereka menambah nilai, menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu menyelesaikan isu sebenar pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata program itu adalah berasaskan penyelesaian semata-mata dan platform untuk pemimpin usahawan muda untuk memikirkan cara membina ekonomi masa depan yang lebih kukuh dan bertenaga untuk Sabah.