Hajiji Nafi Kerajaan Warisan Selesai Bon Hutang Sabah

hajiji-5.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menafikan dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengenai penyelesaian bon hutang negeri sebanyak RM1 bilion dengan sekali bayaran tahun lalu.

Sebaliknya, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, hutang berkenaan sebenarnya dibayar menggunakan Kumpulan Wang Amanah atau Sinking Fund yang ditubuhkan atas saranan Bank Negara ketika penerbitan bon itu pada 2014.

Katanya, kerajaan negeri mencarum ke dalam kumpulan wang itu setiap tahun supaya tidak membebankan apabila membuat pembayaran satu bullet payment pada tarikh matang bon berkenaan iaitu pada 2019.

“Oleh itu, gambaran yang diberikan oleh Ahli Yang Berhormat dari Senallang, Merotai dan Tanjung Kapor adalah mengelirukan dan kurang tepat.

“Mereka menyatakan seolah-olah bayaran balik bon berkenaan dibuat secara sekali gus dengan menggunakan peruntukan tahun kewangan 2019.

“Hakikatnya, pembayaran itu dibuat menggunakan sinking fund yang dicarum sejak dari awal sebaik sahaja bon diterbitkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 bagi Kementerian Kewangan negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, semalam.

Beberapa wakil rakyat pembangkang, termasuk bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini menyatakan kerajaan Warisan menyelesaikan hutang lapuk kerajaan terdahulu sebanyak RM1 bilion.

Selain itu, Hajiji berkata, penerbitan bon RM1 billion berkenaan juga mendapat kadar kupon yang rendah iaitu 4.275 peratus.

“Kerajaan negeri melabur di dalam simpanan tetap di Sabah Development Bank Berhad dengan kadar pulangan sebanyak 4.325 peratus.

“Dengan ini, kerajaan negeri sebenarnya mendapat keuntungan daripada pelaburan berkenaan dan bukannya hutang lapuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, laporan Ketua Audit Negara 2019 yang menyatakan kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah stabil bukan pencapaian kali pertama.

“Kerajaan negeri menerima Sijil Bersih Penyata Kewangan Tahunan selama 19 tahun berturut-turut sejak 2000.

“Disamping itu, kerajaan negeri juga mendapat penarafan tertinggi, tiga A daripada RAM Ratings sejak 2009.

“Kerajaan negeri juga mengekalkan akaun lebihan sejak tahun 2000 berturut-turut. Oleh yang demikian, kerajaan Warisan Plus sebenarnya bernasib baik meneruskan legasi kecemerlangan pengurusan kewangan kerajaan negeri terdahulu.

“Insya-Allah, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan kecemerlangan dan pengukuhan pengurusan kewangan negeri Sabah,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top