KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensinya di Sabah membantu industri pelancongan negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, penggiat industri pelancongan di Sabah amat terkesan akibat Covid-19.
“Selain Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alarm Sekitar Sabah (KePKAS), kita mahu MOTAC membantu merancakkan dan memulihkan semula industri pelancongan negeri ini.
“Ini termasuklah pengusaha pelancongan berasaskan komuniti yang memerlukan sokongan untuk membantu memulihkan aktiviti selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu memastikan sektor pelancongan kembali rancak dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada pendapatan negeri,” tegas Hajiji.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar A/L Ramanaidu di kediaman rasminya di Sri Gaya sini, hari ini.
Hajiji telah diberi taklimat peranan dan fungsi jabatan dan agensi MOTAC di Sabah oleh Dr. Santhara dan ketua-ketua jabatan dan agensi kementerian itu yang hadir.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia dan ketua-ketua jabatan dan agensi MOTAC di Sabah.