KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diarah mengenal pasti lokasi yang sesuai di bandar raya ini untuk dijadikan ‘Art Street’ sebagai tarikan pelancong dan pada masa yang sama membantu merancakkan aktiviti seni budaya di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hji Hajiji Haji Noor berkata terdapat banyak lokasi bersejarah yang sesuai di Sabah yang boleh dijadikan tempat aktiviti seni bagi membantu artis tempatan.
“Saya harap Dewan Bandaraya akan mengambil tindakan segera kerana ini akan menjadi tarikan pelancong baharu kepada negeri ini,” katanya ketika melancarkan Rhythms of Kinabalu 2022: Coming Back Stronger di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya di sini malam kelmarin.
Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata adalah penting keindahan flora dan fauna serta kepelbagaian budaya tempatan dimaksimumkan sebagai cara untuk memacu industri pelancongan yang mampan dan berdaya tahan, yang merupakan salah satu teras utama pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dalam erti kata lain, kita mesti memastikan budaya dan kesenian dipelihara dan dikembangkan seiring dengan sektor lain,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri mahu kepelbagaian warisan budaya terus diperkasakan agar tidak terpinggir daripada arus pemodenan dan teknologi masa kini.
“Kita tidak mahu melihat budaya dan seni kita sendiri terhakis oleh pemodenan. Lebih membimbangkan kita akan kehilangan warisan budaya kerana tiada pemeliharaan atau kesinambungan,” katanya.
Beliau berkata Music Rights Sabah Berhad (MRS), sebuah badan pelesenan muzik yang diberi kuasa kerajaan, telah ditubuhkan pada Januari tahun ini untuk menjaga hak dan kebajikan artis tempatan di Sabah.
Ketua Menteri berasa gembira melihat persembahan Irama Kinabalu yang penuh warna-warni dan gemerlapan, yang melibatkan kira-kira 200 artis daripada semua genre.
“Kerajaan amat berharap program ini dapat membantu dalam mempromosikan khazanah warisan seni dan budaya di negeri ini, serta menemui lebih banyak budaya pelbagai etnik untuk dipertontonkan kepada dunia,” katanya.
Hajiji percaya masih terdapat banyak lagi sama ada tarian atau muzik daripada lebih 33 etnik di Sabah belum ditemui.
“Tarian seperti Limbai, Sumazau dan Magunatip sudah diketahui umum tetapi masih ada lagi yang perlu kita bongkarkan agar ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Hajiji memuji Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan kerana berjaya menganjurkan program itu melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi serta badan bukan kerajaan yang berkaitan.
“Saya bangga melihat program ini kerana ia menunjukkan kerjasama padu antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam mempamerkan warisan budaya negeri. Semoga inisiatif ini akan terus meningkat selepas dua tahun aktiviti sifar akibat pandemik,” katanya.