Hajiji Mengalirkan Air Mata Kenang Saat Berjuang Bersama USNO

cm-nangis.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor tidak dapat menahan sebaknya apabila mengenang kembali perjuangannya bersama Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) ketika peringkat awal penglibatannya dalam politik 33 tahun lalu.

Beliau yang menitiskan air mata sewaktu menyampaikan ucapannya turut mengundang hiba para hadirin di Majlis Perasmian Wisma USNO, di sini.

“Saya tidak boleh melupakan sumbangan USNO kepada saya. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik.

“Sebagai kakitangan kerajaan (ketika itu pada 1990), saya dipilih sendiri oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang meminta saya dan beberapa orang lagi untuk dicalonkan sebagai calon USNO ketika itu.

“Bukan mudah untuk menjadi calon parti pembangkang ketika itu. Selepas dua minggu, saya membuat keputusan untuk bertanding di bawah USNO pada 1990.

“Cabarannya amat besar kerana ketika saya berkempen untuk kawasan Sulaman, sukar untuk menerima sokongan kerana USNO adalah parti pembangkang.

“Namun, kerana perjuangan politik USNO begitu dekat dengan penduduk tempatan, khususnya dalam kalangan Bajau Samah di Sulaman, maka saya memenangi pilihan raya,” kata Hajiji yang sejak itu mempertahankan kawasan itu sehingga hari ini.

Walau bagaimanapun menurut Hajiji, perkara yang perlu dihadam dan dihadapi secara bijaksana adalah perjuangan politik berliku-liku dan berwarna-warni. Dinamika politik itulah yang menyaksikan bukan sahaja USNO, malah Berjaya, Parti Bersatu Sabah (PBS), Barisan Nasional (BN), yang pernah memerintah negeri ini turut tersungkur pada siri-siri pilihan raya yang lalu.

“Saya cakap begini untuk menyatakan politik adalah satu yang dinamik yang boleh bertukar ikut masa. Dan selepas kita mencapai kemerdekaan bagaimana politik yang bertukar kerajaan, USNO, Berjaya, PBS, BN.

“Inilah yang berlaku… Inilah politik perlu kita hadam dan perlu kita ikuti secara bijaksana,” Hajiji mengulas.

Pada masa sama, menurut Hajiji, dengan tertubuhnya Wisma USNO ditambah dengan kedudukan parti itu di dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti itu kata Hajiji kini dilihat mempunyai ‘fengshui’ yang baik dalam arena politik Sabah.

“Dengan ada Wisma Ibu Pejabat USNO, USNO sudah berada dengan GRS… ada ‘fengshui’ yang bagus.

“Di bawah pimpinan Tan Sri Pandikar Amin, walaupun USNO adalah parti kecil, tetapi ia boleh menjadi besar dan kuat kalau diberi sokongan yang padu kepada beliau,” tambah beliau.

Untuk rekod, USNO memiliki keahlian lebih kurang seramai 13,000 orang pada ketika ini.

Turut, hadir sewaktu Majlis Perasmian Wisma USNO, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top