Hajiji mahu kerjasama, kolaborasi dan ganding bahu ahli masyarakat banteras dadah

CM-dadah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu kerjasama, kolaborasi dan gandingan bahu semua ahli masyarakat bersama-sama membanteras dadah yang merupakan musuh nombor 1 negara, demi masa depan anak-anak muda, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran Negara.

Katanya, komitmen dan penglibatan aktif semua pihak dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial amat dituntut dan penting bagi mencapai hasrat Kerajaan untuk merealisasikan Dadah Terkawal 2025

Menurutnya, kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama dan kesepaduan gerak kerja daripada semua pihak khususnya Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri dan Daerah, pemimpin-pemimpin politik dan komuniti, ketua-ketua jabatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), komuniti setempat dan NGO.

“Pada tahun 2024, AADK telah menyediakan perancangan dan Key Performance Indicator (KPI) yang jelas dan realistik merangkumi semua bidang teras iaitu Program Rawatan dan Pemulihan, Pencegahan dan Penguatkuasaan bagi memastikan hala tuju dan strategi utama dalam usaha pengurangan kadar penagih dadah sama ada penagih baru atau penagih berulang bagi mencapai Dadah Terkawal 2025 dapat dijayakan”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1, Tahun 2024 di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

Hajiji berkata, MTMD telah berjaya dilaksanakan di 28 buah daerah pada tahun 2023 termasuk pelantikan 28 Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Sukarelawan Antidadah (SKUAD) Daerah yang menjadi penggerak komuniti dalam membantu AADK khususnya dalam Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Program Pencegahan dan Kesedaran Awam.

Beliau menegaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat MTMD adalah wajib dan Pengerusi MTMD Daerah perlu memastikan setiap ketua jabatan di peringkat daerah, hadir dalam setiap mesyuarat seperti dijadualkan.

“Ini merupakan cara dan kaedah kita untuk check and balance tindakan dan pelaksanaan setiap keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui bersama. Kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama dan kesepaduan gerak kerja daripada semua pihak”, tegasnya.

Hajiji berkata, tahun ini 2 kawasan perlu diberi fokus untuk dihijaukan dari penyalahgunaan dadah iaitu Merotai (Tawau) dan Tuarid Taud (Keningau) dengan Pegawai Daerah Keningau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau telah dilantik sebagai Penyelaras Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di peringkat daerah.

“Saya sangat berharap Pegawai Daerah selaku Pengerusi MTMD Daerah dapat bersama-sama merangka gerak kerja ke arah penghijauan kawasan masing-masing dan memberi penekanan secara serius ke atas usaha-usaha pengekalan pencapaian penghijauan KBT ini”.

“Manakala 2 kawasan yang lain iaitu Penampang (Kota Kinabalu) dan Balung (Tawau) proses penghijauan akan dilakukan pada tahun 2025 agar isu penagihan dan pelencongan sosial di negeri ini dapat dikawal”, tegasnya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Negeri Sabah,Nani Sikin. – PENERANGAN GAGASAN RAKYAT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top