Hajiji Kagum Buatin Berjaya Tawan Gunung Kinabalu

tawan-kinabalu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menzahirkan rasa kagumnya terhadap keupayaan warga emas berusia 90 tahun Buatin Balandong yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 5 September lalu.

“Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai stamina tinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengagumkan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan Buatin di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.

Beliau turut menghadiahkan tanjak tradisional masyarakat Sabah atau Sigar kepada Buatin yang merupakan anak jati Papar itu.

Buatin diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau Datuk Juil Nuatim yang juga cucunya dan beliau turut berkongsi pengalaman bersama Hajiji.

Sementara itu Buatin berkata kejayaan menawan gunung yang dikenali sebagai ‘Aki Nabalu’ dalam bahasa tempatan Kadazandusun itu adalah kali kelapan dilakukannya dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai cabaran.

Pesara kerajaan itu berkata tanpa semangat dan jiwa yang kental, beliau tidak akan mampu mengatasi cabaran hujan lebat dengan persekitaran berkabus dan cuaca yang amat sejuk pada hari pendakian.

“Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak. Kali terakhir saya mendaki Gunung Kinabalu ialah pada tahun 2015 sebelum berlaku gempa bumi,” katanya kepada pemberita.

Kejayaan Buatin menawan puncak Kinabalu itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan beliau sampai di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top