Hajiji harap peristiwa hitam cubaan rampasan kuasa tidak berulang

hajiji-PAT-Gagasan.jpg

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor berharap peristiwa hitam mengenai cubaan rampasan kuasa pada awal tahun ini tidak berulang lagi demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini.

Merujuk kepada percubaan menumbangkan pentadbirannya pada Januari lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, peristiwa itu sebenarnya sukar untuk dilupakan, dan antara titik hitam dalam sejarah politik Sabah yang sangat mengecewakan.

“Kerajaan hampir tumbang dan hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kepimpinan.

“Rakyat menjadi cemas, bimbang jika ada lagi pilihan raya negeri.

“Ia adalah situasi yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan memberi persepsi ketidakstabilan politik,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji, yang juga presiden Gagasan Rakyat, berkata, walau bagaimanapun berkat sokongan daripada rakan yang asalnya parti lawan, iaitu Pakatan Harapan (PH) Sabah, kerajaan yang berpaksikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah dapat diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan.

“Terima kasih kepada rakan-rakan daripada PH termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN/UMNO yang tetap menyokong dan mendokong kerajaan GRS, lalu menjadikan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai kerajaan GRS-PH Plus,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan betapa pentingnya Gagasan Rakyat diperkukuhkan dan menyifatkan parti itu sebagai ‘rumah’ yang perlu dijaga bersama.

“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga,” katanya.

Hadir sama ialah bekas-bekas ketua menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Musa Aman, Datuk Yong Teck Lee dan Tan Sri Osu Sukam, serta Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup and Pesuruhjaya PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top