Hajiji berkongsi kisah di sebalik agenda SMJ

CM-Hajiji-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berfokus kepada tiga sektor utama—pertanian, perindustrian, dan pelancongan—telah dimanfaatkan untuk memacu dan memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19, yang berlaku sekitar tiga tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkongsi komitmennya dalam melahirkan agenda terbaik untuk rakyat Sabah walaupun beliau terpaksa menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Malaysia Gazette, beliau menceritakan cabaran yang dihadapi ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, di mana beliau terpaksa dimasukkan ke hospital selama dua minggu.

“Ini adalah cabaran yang saya hadapi apabila mengambil alih kerajaan negeri. Saya memikirkan apa yang terbaik untuk Sabah dan merancang pemulihan ekonomi selepas pandemik,” jelasnya.

Hajiji juga mengimbau detik cemas ketika mengemudi Kerajaan Negeri Sabah semasa gelombang ketiga penularan Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri ke-16. Beliau menggambarkan betapa sukar situasi tersebut, termasuk ketidaktentuan politik yang melanda.

“Selepas itu, saya tidak boleh berfungsi dengan sepatutnya selama hampir dua bulan. Bayangkan keadaan ekonomi merudum dengan penutupan premis perniagaan dan pergerakan yang dikawal ketat,” ujarnya.

Walaupun dalam tempoh kuarantin, beliau tetap memikirkan pembangunan modal insan, pendidikan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur, dan kelestarian hijau. Menurutnya, agenda SMJ cukup menyeluruh untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya.

“Saya rasa (SMJ) sudah cukup menyeluruh untuk membangunkan Sabah dan juga rakyatnya. Kita gunakan cogan kata negeri (SMJ), apabila saya tengok negeri-negeri di Semenanjung dan Sarawak, semua mempunyai slogan atau cogan kata.

“Contohnya di Sarawak, (ada) Maju dan Makmur, jadi saya pilih SMJ untuk memartabatkan jata negeri kita,” tambahnya.

Dengan semangat itu, Hajiji optimis bahawa SMJ dapat menjadi pemangkin bagi pembangunan negeri.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top