KOTA KINABALU: : Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor membentangkan Belanjawan Sabah 2022 berjumlah RM4.596 bilion pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, ini bermakna belanjawan yang bertemakan bertemakan ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’ itu adalah belanjawan lebihan berjumlah RM110.68 juta.
Belanjawan Sabah 2022 merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui oleh Hajiji.
Semasa pembentangannya, Hajiji antara lain berkata,” Dalam Anggaran Hasil Tahun 2022, Hasil Cukai dijangka menyumbang 44.5 peratus iaitu RM2.094 bilion, manakala, Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2.138 bilion atau 45.4 peratus.
“Sementara itu, kita dijangka menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui kategori Terimaan Bukan Hasil,” katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan membiayai operasi dan pengurusan kerajaan, sebanyak RM4.596 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2022.
Jumlah berkenaan, menurut beliau, melibatkan kenaikan sebanyak RM293.52 juta atau 6.82 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2021 sebanyak RM4.303 bilion.
Jelasnya, jumlah itu diagih untuk tujuan pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.
“Sebanyak RM1.368 bilion dicadang diperuntukkan dalam Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2022. Jumlah ini merangkumi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM741.57 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM626.58 juta.
“Peruntukan kerajaan persekutuan ini termasuk Pembayaran Imbuh Balik Persekutuan berjumlah RM65.25 juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM561.33 juta,” katanya.