Guru Sabah Terima Anugerah Ikon Belia Karismatik Negara

guru-KVK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr. Sirhajwan Idek telah dipilih sebagai penerima Ikon Belia Karismatik kebangsaan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang diumumkan di majlis Anugerah Perdana Belia Negara baru-baru ini.

Anugerah tersebut merupakan salah satu daripada 15 anugerah yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Hotel Sama-Sama, Sepang, untuk mengiktiraf pencapaian golongan belia di Malaysia.

Sirhajwan menerima wang ringgit berjumlah RM10,000, trofi dan sijil. Beliau telah melalui proses pemilihan dan penilaian daripada 20 calon yang telah disenarai pendekkan dari ratusan permohonan sebelum mara ke peringkat tiga finalis terbaik dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.

Pengiktirafan itu diberi atas sumbanga Sirhajwan dalam pelbagai aspek bidang pendidikan. Sejak tahun 2016, beliau telah melatih dan mengurus hampir 500 para pelajarnya untuk membentang projek mereka di pertandingan inovasi dan persidangan secara bersemuka dan dalam talian.

Ramai antara pelajar ini yang telah berjaya mendapat anugerah dan geran. Selain itu, beliau juga telah berjaya memperbudayakan amalan seni dengan membimbing lebih 200 pelajar dalam bidang seni persembahan, penulisan dan visual dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantara sejak penghujung tahun 2020.

Ramai pelajar-pelajar yang dibimbing oleh beliau telah berjaya menempa nama di persada antarabangsa seperti Alesyah Asa yang merupakan 10 finalis terbaik Global Student Prize pada tahun 2022 dan Zurainnizah Omar yang berjaya meraih anugerah melalui OD Impact Challenge pada tahun yang sama.

Sirhajwan juga sentiasa membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas di kolej itu untuk menyertai pertandingan bahasa dan inovasi selain sering melaksanakan bengkel inovasi dan amalan terbaik di sekolah-sekolah di Sabah dan di negeri-negeri lain.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin, berasa gembira dengan pengiktirafan yang diberi kepada Sirhajwan kerana ia mampu memberi platform kepada guru itu untuk memperluaskan lagi usaha murninya membantu memartabatkan pendidikan negara ini.

 

Berita asal: Sabah Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top