Oleh : Aizal Samsaruddin
SANDAKAN : Guru PASTI Sandakan telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 yang dilaksanakan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini sejak Ahad lalu.
Suntikan berkenaan yang melibatkan kira-kira 50 orang guru dilaksanakan secara berkala dan dijangka akan selesai sebelum akhir bulan ini.
Setiausaha PASTI Sandakan, Mustaman Mustain dalam kenyataannya di sini hari ini menambah bahawa pihaknya sentiasa menyokong usaha dibuat kerajaan bagi membendung pandemik ini daripada menular.
“Ini adalah sebahagian ikhtiar kita untuk dijauhkan daripada Covid-19, tambahan lagi guru kita banyak terdedah dengan masyarakat khususnya murid-murid dalam kalangan kanak-kanak,” jelasnya.
Selaku Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman juga menyarankan kepada seluruh masyarakat untuk segera mendaftar bagi menyertai program berkenaan agar sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri ini segera tercapai.
“Atas kesedaran ini kita tampil bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan sekali gus membantu menjayakan agenda yang dibawa oleh kerajaan,” tambahnya.
Beliau dalam kesempatan itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan atas kerjasama yang dihulurkan bagi menjayakan proses vaksinasi untuk guru-guru PASTI berkenaan.
“Terima kasih buat petugas kesihatan yang bertungkus lumus khususnya Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar yang memberi ruang luas kepada kami untuk menyertai program ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, bagi mempercepatkan jumlah vaksinasi di daerah ini, Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan telah membuka sebuah PPV tambahan iaitu di Dewan Serbaguna Libaran selain dua yang lain iaitu di Dewan Masyarakat Sandakan dan Dewan Kolej Kejururawatan Sandakan.